KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Malaysia berbangga dengan semangat juang kesemua atlet para yang berjaya meletakkan kontingen negara di tangga ketiga keseluruhan pada Sukan Para ASEAN (APG) Thailand 2025 sekali gus memperbaiki kedudukan berbanding edisi 2023, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri turut tersentuh melihat kegigihan kesemua atlet para dalam mengejar impian tanpa pernah menjadikan keterbatasan sebagai alasan.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh atlet para negara yang telah mengharumkan nama Malaysia di Sukan Para ASEAN Thailand 2025 yang melabuhkan tirainya semalam.
“Terima kasih kerana mengingatkan kita semua tentang makna sebenar usaha, disiplin dan keyakinan diri. Tahniah wira negara!,” kata Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Kontinjen negara menamatkan saingan dengan kutipan 201 pingat keseluruhan, terdiri daripada 64 emas, 64 perak dan 73 gangsa daripada 17 sukan disertai, sekali gus melepasi sasaran 55 emas dan 181 pingat seperti ditetapkan sebelum ini.
Lonjakan ke kedudukan ketiga keseluruhan menandakan kemajuan signifikan berbanding edisi lepas dalam landskap persaingan yang menyaksikan Thailand muncul juara selepas mengutip 486 pingat (175-155-156) manakala Indonesia kedua dengan 392 pingat (135-143-114).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial