AM

Kebakaran Tanah Gambut: Asap Tebal Jejas Kehidupan Harian Penduduk Di Punggai

27/01/2026 02:34 PM

KOTA TINGGI, 27 Jan (Bernama) -- Kebakaran tanah gambut di Taman Bayu Damai, Pengerang sejak hujung minggu lepas menjejaskan kehidupan harian penduduk apabila kepulan asap tebal menyelubungi kawasan perumahan, menyebabkan kesukaran bernafas dan mengurangkan jarak penglihatan.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati kawasan di sekitar Jalan Langkah Baik 3, Taman Bayu Damai masih diliputi kepulan asap putih tebal dan bau asap yang kuat.

Kepulan asap menyebabkan kesukaran bernafas selain mengehadkan penglihatan hingga kira-kira 150 meter sekali gus menjejaskan aktiviti harian dan menimbulkan kebimbangan penduduk.

Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai dan Sungai Rengit termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM) juga dilihat giat menjalankan operasi pemadaman api di sekitar Jalan Langkah Baik 3.

Imam Masjid Al Hijrah Taman Bayu Damai, Abdul Rahim Padimin, 65, berkata kebakaran yang berlaku kira-kira 50 meter dari rumahnya semakin marak sejak Ahad sehingga menyebabkan beliau sekeluarga terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai demi keselamatan.

“Pada mulanya, saya sangkakan kebakaran kecil, tetapi api merebak dan asap semakin tebal berikutan tiupan angin yang kuat. Keadaan bertambah buruk pada Ahad apabila kepulan asap mengehadkan penglihatan sehingga 50 meter sahaja,” katanya ketika ditemui di PPS itu di sini, hari ini.

Beliau berkata anak perempuannya yang baru bersalin terpaksa dipindahkan ke rumah adik iparnya di Kampung Sungai Kapal yang tidak terjejas jerebu.

Kawasan Jalan Langkah Baik 1, 2 dan 3 antara yang paling terjejas kerana berdekatan punca kebakaran, dengan api dilihat merebak di kawasan yang dipenuhi pokok resam, lalang dan tumbuhan hutan yang mudah terbakar.

Sementara itu, penduduk Jalan Langkah Baik 3, Fuad Daud, 57, berkata beliau dan keluarganya terpaksa berpindah ke PPS pada Sabtu lepas.

“Asap sangat tebal sampai susah nak bernafas, mata pedih dan bau asap kuat. Walaupun kami sudah tutup pintu dan tingkap, asap masih masuk ke dalam rumah sekali gus membahayakan kesihatan kami sekeluarga,” katanya sambil menambah kejadian kali ini adalah yang terburuk pernah berlaku di kawasan itu sejak 2013.

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Taman Bayu Damai, Ishak Moksan, 62, berkata pihaknya segera mengeluarkan amaran dan menggerakkan pengumuman kepada penduduk untuk berpindah ke PPS apabila situasi semakin buruk pada Sabtu bagi mengelakkan risiko lebih besar.

Beliau berkata lebih 250 penduduk dianggarkan terjejas selain keadaan tanah gambut yang masih berpotensi menyimpan bara di lapisan bawah, meningkatkan risiko kebakaran berulang yang memerlukan pemantauan berterusan pihak berkuasa.

Setakat 12 tengah hari tadi, sebanyak 124 mangsa daripada 45 keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu di PPS Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kapal susulan insiden kebakaran tanah gambut seluas kira-kira 12 hektar itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan