JENAYAH & MAHKAMAH

JPJ KL Sita 21 Kenderaan Termasuk Dua Bas Persiaran

27/01/2026 04:30 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur menyita 21 kenderaan termasuk dua bas persiaran dalam Operasi Sepadu di Plaza Tol Sungai Besi arah selatan, di sini hari ini.

Pengarahnya Hamidi Adam berkata dua bas persiaran itu disita kerana melanggar syarat permit operasi apabila gagal menyediakan pemandu pelancong berlesen dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Beliau berkata pelanggaran berkenaan merupakan kesalahan serius kerana melanggar syarat Keperluan Tahap Perkhidmatan Kenderaan Pelancongan yang ditetapkan dalam lesen kenderaan pelancongan.

“Ketidakpatuhan terhadap syarat ini bukan sahaja melibatkan kesalahan undang-undang, malah berpotensi menjejaskan keselamatan penumpang serta mencemarkan industri pelancongan. Tindakan penyitaan diambil serta-merta tanpa kompromi,” katanya pada sidang media selepas operasi selama empat jam itu.

Hamidi berkata kesalahan berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1)(b) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) kerana gagal mematuhi syarat lesen pengendalian kenderaan perkhidmatan pelancongan.

Beliau berkata di bawah Seksyen 41(3) akta sama, pengendali disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, manakala kenderaan terlibat boleh dilucuthakkan mengikut Seksyen 80(4) akta berkenaan.

Mengulas keseluruhan operasi, Hamidi berkata Operasi Sepadu itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan PLUS Malaysia Berhad bagi meningkatkan tahap pematuhan undang-undang jalan raya.

“Sepanjang operasi, sebanyak 2,091 kenderaan diperiksa dengan 382 kesalahan dikesan dan notis saman dikeluarkan, selain 21 kenderaan disita serta empat pemandu didapati positif dadah,” katanya.

Beliau berkata JPJ Kuala Lumpur akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berkala, konsisten dan berfokus selaras dengan amanat Ketua Pengarah JPJ yang menekankan prinsip “Satu Suara, Serata-rata”. 

Sementara itu, Hamidi berkata statistik JPJ Kuala Lumpur menunjukkan penurunan dalam beberapa kategori penguatkuasaan bagi tahun 2025 berbanding 2024, mencerminkan pendekatan operasi yang lebih bersasar.

“Pada 2025, sebanyak 176,536 kenderaan diperiksa berbanding 242,661 kenderaan pada 2024, manakala jumlah kenderaan diambil tindakan menurun daripada 52,194 kepada 46,119.

“Jumlah kenderaan disita turut menurun ketara daripada 3,278 kenderaan pada 2024 kepada 995 kenderaan pada 2025, selaras pendekatan penguatkuasaan bersepadu yang menggabungkan tindakan undang-undang dengan elemen pendidikan dan nasihat kepada pengguna jalan raya bagi meningkatkan tahap pematuhan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan