DUNIA

Indonesia Terima Tiga Jet Pejuang Pertama Rafale

27/01/2026 05:38 PM

JAKARTA, 27 Jan (Bernama) -- Tiga jet pejuang Rafale buatan Perancis telah mendarat di Indonesia, menandakan kumpulan pertama di bawah perjanjian perolehan 42 pesawat yang ditandatangani pada 2022.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Brigedier Jeneral Rico Ricardo Sirait berkata tiga jet itu, yang dibina pengeluar aeroangkasa Perancis Dassault Aviation, diserahkan kepada Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI AU) pada Jumaat lalu di Pangkalan Udara Roesmin Nurjadin di Pekanbaru, Sumatera.

“Ketiga-tiga jet itu kini sedia dioperasikan oleh TNI AU,” katanya, menurut Agensi Berita ANTARA pada Selasa.

Beliau berkata majlis penyerahan rasmi jet itu yang dijangka dihadiri Presiden Prabowo Subianto, akan diadakan pada tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Indonesia menandatangani perjanjian dengan Dassault Aviation pada Februari 2022 untuk memperoleh 42 pesawat pejuang Rafale di bawah program perolehan pertahanan utama, dengan kontrak distrukturkan dalam tiga tranche.

Tranche pertama membabitkan enam jet mula berkuat kuasa pada September 2022, diikuti tranche kedua melibatkan 18 pesawat pada Ogos 2023, manakala tranche terakhir 18 jet berkuat kuasa pada 8 Jan 2024.

Namun, Rico tidak memperincikan garis masa ketibaan kumpulan kedua dan ketiga.

Dassault Aviation berkata perolehan TNI AU itu merangkumi penyelesaian siap guna lengkap, termasuk pakej komprehensif meliputi latihan kru udara, sokongan logistik bagi beberapa pangkalan udara Indonesia, serta pusat latihan dengan dua simulator misi penuh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan