EKONOMI

Dasar Jelas, Pembaharuan Kerajaan Dan Faktor Luaran Bantu Lonjakkan Ringgit - Gabenor BNM

27/01/2026 07:52 PM

Oleh M.Saraswathi & Karina Imran

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Dasar jelas, pembaharuan berterusan kerajaan dan faktor luaran merupakan antara penyumbang utama kepada peningkatan kukuh ringgit ke paras tertinggi yang kali terakhir dilihat pada 2018, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Ringgit diniagakan pada 3.9540 berbanding dolar AS pada sesi rehat tengah hari ini, mencatatkan paras tertinggi baharunya sejak 15 Mei 2018. Mata wang tempatan itu melonjak melepasi paras psikologi 4.00 berbanding dolar AS semasa penutup dagangan pada Isnin.

Beliau berkata walaupun faktor luaran dan domestik memainkan peranan penting, namun faktor domestik tetap menjadi tumpuan utama untuk memperkukuh asas ekonomi, meningkatkan daya saing dan mengekalkan langkah-langkah pembaharuan yang menyokong pertumbuhan jangka panjang.

“Inilah pemacu ringgit pada masa hadapan.

“Usaha ini sangat penting, dan jika kita melakukannya dengan betul, ringgit akan menjadi lebih menarik dan pelaburan mengalir masuk ke negara ini,” kata Abdul Rasheed kepada Bernama menerusi satu temu bual, hari ini.

Faktor-faktor ini, katanya, juga boleh dibahagikan kepada jangka pendek dan jangka panjang.

"Faktor jangka pendek adalah seperti aliran modal. Modal boleh masuk, keluar dan kemudian mengalir masuk semula. Perbezaan kadar faedah juga bersifat jangka pendek. Seperti sekarang, ia (kadar faedah) mungkin semakin mengecil. Tetapi kita tidak tahu berapa lama sebelum ia mula meningkat semula," katanya.

Ditanya mengenai intervensi BNM dalam pasaran pertukaran asing, Abdul Rasheed berkata, tanpa mengira hala tuju mata wang, objektif bank pusat adalah untuk memastikan pasaran berfungsi dengan teratur.

"Kami tidak menetapkan paras ringgit. Kami tidak mempengaruhi parasnya. Pasaran yang menentukannya.

"Peranan kami adalah untuk memastikan pasaran yang teratur. Kami mahu memastikan kecairan yang mencukupi dalam pasaran. Prinsip ini membimbing kami dalam membantu pasaran," katanya.

Beliau berkata asas ekonomi yang kukuh akan menyediakan sokongan jangka panjang kepada ringgit. 

“Asas (ekonomi) kita kukuh, sama ada dari segi luaran, dasar domestik atau sektor perbankan, antara lainnya. Ekonomi kita juga sangat pelbagai.

“Kita juga merupakan sebahagian daripada rantaian bekalan global produk penting, seperti kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Sebagai contoh, Abdul Rasheed berkata, permintaan terhadap produk elektrik dan elektronik sangat tinggi.

Selain itu, katanya, produktiviti dan kecekapan negara juga penting kerana ia menarik pelaburan berkualiti tinggi yang mencipta pekerjaan berpendapatan tinggi.

"Semua ini kelaknya akan membawa impak pengganda yang lebih tinggi kepada ekonomi," katanya.

Menurutnya, pelaksanaan pembaharuan, seperti subsidi bersasar, dirancang dan dilaksanakan tanpa membawa kesan yang besar kepada ekonomi.

Beliau menjelaskan komitmen kerajaan terhadap disiplin fiskal, serta prospek pertumbuhan negara, juga merupakan faktor penyumbang kepada momentum positif itu.

Kerajaan berada di landasan untuk mengurangkan defisit fiskalnya kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026, daripada anggaran 3.8 peratus tahun lepas.

Menurut anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 5.7 peratus pada suku keempat (S4) 2025, disokong oleh prestasi kukuh sektor ekonomi utama serta permintaan domestik yang memberangsangkan.

Anggaran awal pertumbuhan suku keempat 2025 pada 5.7 peratus menunjukkan ekonomi meningkat daripada pengembangan 5.2 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya.

Abdul Rasheed berkata walaupun perkembangan faktor luaran berada di luar kawalan penggubal dasar, keadaan global ketika ini memihak kepada ringgit.

“Sebagai contoh, perbezaan kadar faedah yang semakin mengecil dan dasar kewangan ekonomi maju yang lebih longgar memberi sokongan positif terhadap ringgit pada masa ini,” katanya.

Justeru, katanya, sukar untuk menyatakan apakah faktor tertentu utama yang menyumbang kepada kekuatan ringgit.

"Ia adalah gabungan pelbagai faktor. Kadangkala ia faktor domestik, dan kadangkala ia faktor luaran. Apa yang kita lihat sekarang adalah gabungan pelbagai faktor," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan