KULIM, 27 Jan (Bernama) -- Sebuah tapak pelupusan sisa pepejal seluas kira-kira 1.42 hektar di Padang Cina, Kulim Hi-Tech di sini terbakar petang tadi.
Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah Penguasa Kanan Bomba II Mohd Faizal Sulaiman berkata 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan pada 6.30 petang.
“Operasi pemadaman yang turut dibantu oleh syarikat swasta masih dijalankan dan kejadian tidak melibatkan mangsa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mohd Faizal berkata api masih marak dan sehubungan itu, peralatan dan jentera tambahan akan digerakkan ke lokasi bagi menangani kebakaran berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata kebakaran yang berlaku melibatkan kawasan sel 1 dan sel 2 tapak pelupusan berkenaan.
“JAS Kedah menjalankan pemantauan udara menggunakan dron serta memasang alat pengukuran gas bagi memantau tahap kualiti udara di sekitar tapak pelupusan serta impaknya ke kawasan terdekat seperti kawasan perumahan dan sekolah.
“Indeks Pencemaran Udara (IPU) bagi stesen pengawasan kualiti udara ambien terdekat di Stesen Kulim Hi-Tech mencatatkan bacaan 60, iaitu dalam kategori sederhana,” katanya.
Beliau berkata JAS Kedah turut menjalankan pemantauan menggunakan peralatan meter gas bagi mengesan sekiranya terdapat kehadiran gas pencemar lain.
“Kita akan membuka siasatan di bawah Seksyen 29A(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Orang awam dinasihatkan agar menjauhi kawasan ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial