KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Status kemajuan pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS 1) KD Maharajalela dan proses kawal selia penentusahan umur di platform media sosial antara perkara yang dibangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang rasmi Parlimen, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) dalam sesi soal jawab lisan meminta Menteri Pertahanan menyatakan status prestasi sea trial LCS 1 dan sama ada kapal itu dapat ditauliahkan mengikut jadual seawal Ogos tahun ini.
Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) pula melontarkan soalan kepada Menteri Komunikasi berhubung cadangan kerajaan untuk mengawal selia proses penentusahan umur bagi platform media sosial memandangkan ia melibatkan pemberian butiran peribadi warganegara kepada platform asing yang berpangkalan di luar negara.
Sementara itu, Datuk Seri Dr Shahidan Kasim (PN-Arau) menyoal Menteri Belia dan Sukan mengenai sebab Malaysia tiada stadium bertaraf antarabangsa serta universiti khusus untuk sukan, dan pelan kerajaan bagi membina fasiliti moden agar atlet negara tidak ketinggalan di pentas global.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dijangka memberi penjelasan mengenai perkembangan semasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada sesi Penerangan Menteri.
Selepas sesi soal jawab lisan, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja oleh Ahli Parlimen.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 20 hari hingga 3 Mac depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial