DUNIA

Arab Saudi Tidak Akan Benarkan Ruang Udara, Wilayahnya Digunakan Untuk Serang Iran

28/01/2026 03:32 PM

ISTANBUL, 28 Jan (Bernama-SPA) -- Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman bertitah kerajaan Arab Saudi tidak akan membenarkan ruang udara atau wilayahnya digunakan untuk sebarang tindakan ketenteraan terhadap Iran, lapor Anadolu Ajansi.

 Perkara itu dinyatakan semasa panggilan telefon antara Putera Mahkota, yang juga Perdana Menteri Arab Saudi dan Presiden Iran Masoud Pezeshkian, menurut Agensi Berita Saudi (SPA) pada lewat Selasa.

Bin Salman menegaskan “pendirian kerajaan Arab Saudi untuk menghormati kedaulatan Republik Islam Iran,” sambil menekankan bahawa Riyadh “tidak akan membenarkan penggunaan ruang udara atau wilayahnya dalam sebarang tindakan ketenteraan terhadap Republik Islam Iran atau sebarang serangan oleh mana-mana pihak, tanpa mengira destinasinya.”

Baginda turut mengulangi sokongan Arab Saudi terhadap “sebarang usaha yang bertujuan menyelesaikan pertikaian melalui dialog dengan cara yang dapat meningkatkan keselamatan dan kestabilan di rantau itu.”

Dalam panggilan itu, Pezeshkian menzahirkan penghargaan terhadap sokongan negara-negara Islam kepada Iran di tengah-tengah kebimbangan kemungkinan serangan Amerika Syarikat (AS) terhadap Tehran, menurut kenyataan kepresidenan Iran.

Pezeshkian turut menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan negara Islam.

“Saya sepenuh hati percaya bahawa ummah Islam dan negara-negara Islam adalah saudara, dan saya yakin bahawa bersama-sama serta melalui kerjasama bersama kita dapat membina rantau yang selamat, maju dan “makmur” untuk rakyat kita,” katanya.

Beliau mengkritik apa yang disifatkannya sebagai “permusuhan” oleh AS dan Israel, menuduh kedua-duanya mengenakan tekanan ekonomi, cuba mencetuskan konflik serta secara langsung menyokong kekacauan di Iran.

“Mereka menyangka tindakan sedemikian boleh menjadikan Iran seperti Syria atau Libya, tanpa menyedari bahawa mereka tidak memahami realiti, sifat dan kehebatan rakyat Iran,” katanya sambil menyatakan bahawa “kehadiran menyeluruh dan sedar rakyat Iran” telah menggagalkan rancangan sedemikian.

“Kami sedang berdialog dengan Amerika apabila, di depan mata seluruh dunia, mereka melancarkan serangan ketenteraan terhadap kami… Ketika berinteraksi dengan negara-negara Eropah, kami mencapai kesepakatan, tetapi Amerika yang melanggar dan tidak mematuhinya,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Iran kekal bersedia “untuk mengalu-alukan sebarang proses yang membawa kepada keamanan, ketenangan serta penghindaran konflik dan perang, dalam kerangka undang-undang antarabangsasambil memelihara dan menghormati sepenuhnya hak rakyat dan negara.”

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan