KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Beberapa jalan utama di pusat bandar Kuala Lumpur akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat bagi memberi laluan kepada program Larian Visit Malaysia Year 2026 (VM2026) sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada Ahad ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata program anjuran Malaysia Marathon Official Sdn Bhd dengan kerjasama Pejabat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu melibatkan dua kategori utama iaitu Larian KL10 (10 kilometer) pada 4 pagi hingga 10 pagi dan Larian VM2026 (lima kilometer) dari 3 petang hingga 11.59 malam.
Beliau berkata antara laluan yang terlibat ialah Jalan P. Ramlee, Jalan Ampang, Jalan Pinang, Jalan Kia Peng, Jalan Stonor, Jalan Conlay, Jalan Raja Chulan, Jalan Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Dang Wangi, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Persiaran Maybank.
“Penutupan dan lencongan jalan ini dilaksanakan bagi memastikan keselamatan peserta, kelancaran trafik serta kelangsungan program,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Mohd Zamzuri menasihati orang ramai merancang perjalanan lebih awal, menggunakan laluan alternatif dan mematuhi arahan pegawai polis serta petugas trafik yang bertugas.
“Pihak penganjur dan pihak berkuasa memohon kerjasama serta kefahaman orang ramai atas sebarang kesulitan yang timbul sepanjang tempoh penutupan dan lencongan jalan ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial