EKONOMI

Sunway REIT Catat Keuntungan Bersih Lebih Rendah Sebanyak RM178 Juta

29/01/2026 07:19 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Sunway Real Estate Investment Trust (REIT) melaporkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM178 juta pada suku keempat berakhir 31 Dis 2025 berbanding RM203.56 juta yang dicatatkan tempoh yang sama tahun sebelum ini.

Bagaimanapun, pendapatan untuk suku dalam tinjauan meningkat kepada RM227.64 juta daripada RM220.85 juta selepas disokong oleh pertumbuhan dalam segmen-segmen peruncitan, perhotelan, industri dan lain-lain.

“Pendapatan bagi segmen runcit pada suku keempat 2025 berjumlah RM173.1 juta, mewakili kenaikan sebanyak 16 peratus atau RM24.1 juta berbanding suku keempat 2024, dipacu oleh sumbangan pendapatan baharu daripada Sunway Kluang Mall dan AEON Mall Seri Manjung, yang masing-masing telah diambil alih pada Disember 2024 serta Julai 2025

“Pertumbuhan ini disokong lagi dengan penyiapan penuh pengubahsuaian berperingkat sayap sedia ada Sunway Carnival Mall pada Mei 2025 termasuk pengubahsuaian presint Oasis di Sunway Pyramid Mall dalam November 2024,” katanya melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Menurut Sunway REIT, segmen perhotelannya mencatatkan pendapatan RM29.9 juta semasa suku keempat S4 2025, menokok tujuh peratus atau RM2.0 juta berbanding suku keempat 2024 disebabkan oleh peningkatan dalam aktiviti pelancongan, khususnya semasa musim perayaan dan cuti akhir tahun.

Bagi prestasi setahun penuh, keuntungan bersih Sunway REIT mengukuh kepada RM539.36 juta daripada RM524.75 juta pada 2024, manakala hasil adalah lebih mantap kepada RM894.33 juta daripada RM767.15 juta.

Manakala, pendapatan hartanah bersih (NPI) turun sebanyak 0.4 peratus kepada RM165 juta pada suku keempat 2025 daripada RM165.6 juta yang disaksikan semasa suku yang sama tahun lepas.

Segmen perindustrian dan lain-lain merekodkan lonjakan dalam hasil dan NPI, masing-masing sebanyak 73 peratus serta 52 peratus, untuk tahun sehingga tarikh terkini suku keempat 2025, dipacu oleh sumbangan sewa baharu daripada Sunway REIT Industrial-Prai selain peningkatan kadar penghunian untuk Sunway REIT Industrial-Petaling Jaya 1.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management Sdn Bhd, Derek Teh Wan Wei melalui satu kenyataan berasingan memberitahu amanah itu mencatatkan rekod pengagihan seunit (DPU) tertinggi sebanyak 14.48 sen untuk 2025, selepas disangga oleh tambahan 15.5 peratus dalam NPI kepada RM658 juta berikutan pemerolehan baharu dan kejayaan menyiapkan inisiatif peningkatan aset di Sunway Carnival Mall.

“Sunway REIT menjana hasil pengagihan sebanyak 6.3 peratus dan jumlah pulangan 31.2 peratus bagi tahun kewangan tersebut, manakala harga unitnya menyaksikan kenaikan 24.9 peratus dari tahun ke tahun untuk ditutup pada RM2.31 setakat 31 Dis 2025.

“(Ini mencerminkan) pelaksanaan yang konsisten dalam pengurusan portfolio dan meneruskan keyakinan pelabur dalam strategi REIT,” katanya lagi.

Amanah itu juga mencadangkan DPU tertinggi dalam rekod sebanyak 8.80 sen untuk separuh kedua 2025, yang mana 3.98 sen untuk suku ketiga 2025 telah dibayar pada 24 Dis 2025, dengan baki perlu dibayar menjelang 27 Feb 2026.

 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan