ISKANDAR PUTERI, 29 Jan (Bernama) -- Johor Darul Ta'zim (JDT) berada dalam keadaan selesa untuk melangkah ke pusingan separuh akhir Kejohanan Kelab ASEAN 2025/2026 selepas menewaskan kelab Myanmar, Shan United FC 3-0 dalam aksi Kumpulan B di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, hari ini.
Kemenangan itu menyaksikan pasukan kendalian Xisco Munoz memintas Nam Dinh FC dari Vietnam dan melonjak ke kedudukan pertama kumpulan dengan 10 mata.
Nam Dinh FC, yang kini mengumpul sembilan mata, berpeluang merampas semula kedudukan teratas sekiranya menewaskan Lion City Sailors dari Singapura dalam pertembungan yang berlangsung pada 7.30 malam ini.
Pada separuh masa pertama, Harimau Selatan gagal memecah kebuntuan meskipun beberapa percubaan berbahaya dihasilkan.
Penyerang Joao Vitor Brandao Figueredo hampir membuka jaringan pada minit ke-11 melalui tandukan selepas menerima hantaran Jairo Da Macedo Da Silva, namun bola melepasi palang gol.
Shan United FC turut memiliki peluang terbaik pada minit ke-31 apabila percubaan Mauricio De Oliveira Moraes dari dalam kotak penalti tersasar, sekali gus melegakan kem JDT.
Figueredo kembali mencuba nasib pada minit ke-44 melalui tandukannya, tetapi percubaan itu gagal menemui sasaran selain berlaku perlanggaran dengan penjaga gol Shan United, Kyaw Zin Phyo.
Babak kedua menyaksikan JDT berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-66 menerusi jaringan Oscar Pasero Arribas yang mudah menolak masuk hantaran sepakan sudut Yago Cesar Da Silva.
Tidak lama kemudian, Bergson Gustavo Silvera Da Silva menjaringkan gol kedua seminit kemudian, sebelum menggandakan jaringan pada minit ke-71 menerusi tandukannya selepas menyempurnakan sepakan penjuru Hector Alejandro Hevel Serrano untuk gol ketiga.
Keputusan kekal 3-0 sehingga wisel penamat.
JDT hanya memerlukan keputusan seri apabila berdepan Nam Dinh FC pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Thien Truong, Vietnam, pada 5 Februari ini bagi mengesahkan tiket ke separuh akhir.
Dua pasukan teratas daripada Kumpulan A dan B akan mara ke peringkat separuh akhir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial