KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Bermula hari ini, kadar fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan perkhidmatan e-panggilan menjadi lebih fleksibel susulan beberapa penyelarasan yang dilaksanakan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menerusi hantaran di laman Facebook, MOT memaklumkan antara penetapan baharu itu ialah pemilik kenderaan e-panggilan kini dibenarkan memperbaharui LKM untuk tempoh yang lebih fleksibel, iaitu minimum satu bulan dan maksimum 12 bulan.
Selain itu, kadar fi terkumpul bagi tempoh pembaharuan antara satu hingga lima bulan tidak akan melebihi kadar fi LKM enam bulan, dengan pembaharuan tertakluk kepada tempoh sah permit kenderaan (eVP), laporan pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) dan perlindungan insurans yang masih berkuat kuasa.
“Langkah ini memberi kemudahan kepada pengusaha e-panggilan sekali gus memastikan pematuhan peraturan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap.
“Inisiatif ini selari dengan semangat Malaysia MADANI yang menekankan kecekapan serta kesejahteraan untuk semua,” menurut hantaran itu.
Sementara itu, dalam hantaran berasingan, MOT memaklumkan sebanyak RM10 juta diperuntuk bagi membantu 5,000 pemilik kenderaan berusia lebih 20 tahun beralih kepada kenderaan baharu yang lebih selamat, cekap tenaga dan mesra alam.
Melalui Program Geran Padanan Penggantian Kenderaan Lama, penerima yang layak akan menikmati geran padanan sehingga RM2,000 daripada kerajaan, yang dipadankan oleh pengeluar kenderaan tempatan.
Inisiatif berkenaan turut melibatkan pembatalan pendaftaran melalui Sistem Pembatalan Pendaftaran Kenderaan Secara Dalam Talian (e-DeREG) oleh JPJ dan pelupusan kenderaan secara sah di Pusat Kemudahan Rawatan Automotif Berlesen (AATF).
Menurut MOT, selain meningkatkan keselamatan jalan raya, program itu bertujuan mengurangkan risiko kemalangan serta memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial