AM

MAHB Perkukuh Ekosistem Keselamatan, Tambah Anggota Polis Bantuan

30/01/2026 05:13 PM

PUTRAJAYA, 30 Jan (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memperkukuh ekosistem keselamatan penerbangan negara dengan penambahan 201 anggota baharu Pembantu Keselamatan Penerbangan (Polis Bantuan) yang menamatkan latihan asas intensif secara bersepadu.

Latihan enam bulan diadakan di Pusat Latihan Polis Air Hitam (PULAPAH), Negeri Sembilan dan School of Aviation Security, Malaysia Airports Academy dengan kesemua anggota ditauliahkan pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

MAHB dalam kenyataan memaklumkan program latihan asas intensif itu dirangka untuk melahirkan anggota keselamatan yang berdaya tahan, berintegriti dan bersedia menghadapi cabaran keselamatan global.

“Sepanjang tempoh itu, pelatih menjalani latihan berstruktur merangkumi disiplin dan latihan luar, akademik serta kecekapan khusus sekali gus mencerminkan tahap profesionalisme tinggi yang menjadi teras operasi keselamatan MAHB,” menurut kenyataan itu.

MAHB memaklumkan sebagai pengendali rangkaian lapangan terbang utama negara, pihaknya memikul tanggungjawab untuk memastikan setiap lapangan terbang kekal selamat dan diyakini.

“Keselamatan yang kukuh antara pemangkin utama pertumbuhan dan prasyarat kepada pertumbuhan yang mampan. Pada 2025, hampir 105 juta penumpang telah dikendalikan di seluruh Malaysia, meningkat 11 peratus berbanding 2024.

“Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, pertumbuhan ini dijangka berterusan dengan keperluan keselamatan yang lebih tinggi dan semakin kompleks, sekali gus menjadikan peranan keselamatan penerbangan (AVSEC) semakin kritikal,” menurut kenyataan itu.

MAHB memaklumkan akan terus melabur secara berterusan dalam pembangunan modal insan keselamatan sebagai komponen kritikal bagi menjamin keselamatan penumpang dan melindungi infrastruktur strategik.

“Ini termasuk mengekalkan keyakinan industri penerbangan global, selaras dengan aspirasi negara untuk kekal sebagai hab penerbangan serantau bertaraf dunia,” menurut kenyataan itu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, Pengerusi MAHB Dr Nungsari Ahmad Radhi dan Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan