JENAYAH & MAHKAMAH

Edar 72.52g Methamphetamine, Buruh Dipenjara 30 Tahun, 12 Sebatan

30/01/2026 07:03 PM

SIBU, 30 Jan (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan terhadap seorang buruh selepas didapati bersalah mengedar 72.52 gram (g) dadah jenis methamphetamine pada 2022.

Jeffry Lepa, 43, diarahkan untuk menjalani hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap.

Hakim Wong Siong Tung berkata setelah mempertimbangkan dengan teliti keseluruhan bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah berpuas hati bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah semua elemen penting kesalahan yang didakwa terhadap tertuduh.

"Pihak pendakwaan juga berjaya membuktikan kes prima facie pada penutupan kes, termasuk identiti dan berat bersih dadah itu, serta pemilikan, penjagaan dan pengawalan tertuduh terhadap kontraban terbabit," katanya.

Beliau menolak hujan pembelaan bahawa terdapat pemutusan rantaian penjagaan dan percanggahan dalam berat barang kes dadah, serta memutuskan bahawa perbezaan itu bukanlah sesuatu yang luar biasa disebabkan oleh penggunaan alat penimbang berbeza oleh polis dan ahli kimia.

Wong juga mendapati lelaki itu mempunyai kawalan eksklusif terhadap kenderaan, iaitu lokasi dadah ditemukan, dengan menyatakan bahawa tertuduh membawa polis ke kenderaan terbabit, membukanya menggunakan alat kawalan jauh serta menunjukkan beg yang mengandungi dadah itu.

Mahkamah kemudian memutuskan bahawa pembelaan tertuduh bahawa dia hanyalah pemandu yang diupah dengan bayaran RM100 dan tidak mengetahui tentang dadah terbabit adalah sesuatu yang tidak dapat dipercayai, tidak konsisten dan bercanggah dengan pengakuannya sendiri dan bukti lain, termasuk imej digital pembungkusan dadah yang terdapat dalam telefon bimbitnya.

Wong memutuskan bahawa lelaki itu gagal menyangkal anggapan pengedaran atas imbangan kebarangkalian, justeru beliau mensabitkan dengan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Jeffry didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta di Lorong Tun Ahmad Zaidi, di sini kira-kira 3 petang pada 26 Nov 2022, di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

 Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mark Kenneth Netto berhujah bahawa kesalahan itu menimbulkan ancaman besar kepada kepentingan awam dan memohon hukuman berat dikenakan, berdasarkan peranan aktif tertuduh dalam rangkaian pengedaran dadah terancang.

Jeffry diwakili peguam Jacob Wong dan Jessie Wong.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan