CHUKAI, 31 Jan (Bernama) -- Bangkai seekor tuntung sungai dipercayai mati akibat tersangkut pada rawai ditemukan di Sungai Kemaman berhampiran Kampung Pasir Gajah dekat sini, Khamis lepas.
Pengasas Bersama dan Pengarah Eksekutif Persatuan Pemuliharaan Tuntung Malaysia (TCS) Dr Chen Pelf Nyok dalam kenyataan berkata bangkai tuntung jantan dewasa berusia dalam lingkungan 12 tahun seberat 18 kilogram (kg), berukuran 47 sentimeter (cm) panjang serta 37 cm lebar itu ditemukan mati terapung di sungai tersebut pada 10.30 pagi.
Beliau berkata pasukan penjaga tuntung TCS diketuai Pengurus Lapangan Dylan Wang pergi ke lokasi selepas menerima laporan dan mendapati dua tali pancing tersangkut pada kaki dan leher reptilia akuatik itu.
"Tuntung yang terperangkap pada rawai sukar untuk timbul dan bernafas sehingga mengakibatkan kematian," katanya.
Beliau berkata tuntung itu yang pertama ditemukan mati di sungai tersebut pada tahun ini.
Katanya pada tahun lepas, seekor tuntung sungai betina ditemukan mati juga akibat tersangkut pada rawai di sungai berkenaan.
“Kami sentiasa menjalankan tinjauan di Sungai Kemaman secara rutin untuk membersihkan peralatan menangkap ikan yang dibuang bagi mengelakkan kematian yang tidak wajar ini," katanya.
Tuntung dikategorikan sebagai haiwan sangat terancam dan dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial