AM

APMM Peroleh Persetujuan MAIK Bina Pos Maritim, Radar Swasla Di Pulau Tengkorak

01/02/2026 05:54 PM

KOTA BHARU, 1 Feb (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan memperoleh persetujuan rasmi daripada pemilik tanah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bagi urusan jual beli tanah di Pulau Tengkorak, Tumpat untuk pembinaan Pos Maritim serta pemasangan sistem radar Remote Sensored Site (RSS) Swasla.

Pengarah APMM Kelantan Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata kewujudan stesen maritim bersama sistem radar itu dijangka meningkatkan keupayaan pemantauan perairan sempadan secara lebih sistematik dan berkesan, sekali gus membantu membendung kegiatan penyeludupan serta kemasukan pendatang tanpa izin.

“Lokasi ini dipilih kerana kedudukannya yang sangat hampir dengan sempadan Thailand, khususnya antara Tebing Takbai dan Pengkalan Kubor, selain dikenal pasti sebagai kawasan ‘hotspot’ yang sering digunakan penyeludup.

“Pemasangan radar di kawasan ini akan membolehkan pemantauan berterusan dalam lingkungan radius 10 hingga 15 batu nautika,” katanya selepas perlawanan boling antara Maritim dan Media di sini hari ini.

Beliau berkata cadangan itu selaras dengan pendekatan pemantauan berteknologi tinggi yang telah dilaksanakan di Johor, termasuk liputan di Selat Melaka hingga ke bahagian utara, selain Sabah dan Sarawak.

Erwan Shah berkata buat masa ini, penguatkuasaan masih bergantung kepada keanggotaan serta aset sedia ada, namun penggunaan sistem radar dijangka dapat memperkukuh usaha membanteras penyeludupan di perairan Pantai Timur.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan