KOTA BHARU, 1 Feb (Bernama) -- Seorang wanita warga emas berusia 70-an yang dikenali sebagai “Moksu Bedak Sejuk” atau nama sebenarnya Tengku Jariah Hanna Tuan Ismail maut selepas dilanggar sebuah kereta di depan Stesen Minyak Shell, Jalan Sultan Ibrahim di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Azmir Damiri berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 8.46 pagi manakala kemalangan dipercayai berlaku pada 7.35 pagi.
Beliau berkata siasatan awal mendapati pemandu kereta itu sedang memandu dari arah KB Mall menghala ke Bulatan Padang sebelum tiba di lokasi kejadian.
“Ketika itu, mangsa dipercayai sedang melintas jalan dari bahu kiri ke bahu kanan jalan. Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu yang berada di laluan lurus dan di laluannya yang sah tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azmir berkata mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia di Wad Zon Merah manakala pemandu kenderaan itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis menyeru mana-mana saksi kejadian tampil membantu siasatan.
Sebelum ini, wanita itu yang juga pemegang Kad Orang Kurang Upaya tular di media sosial kerana sering memakai bedak sejuk serta bersikap mesra apabila disapa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial