AM

UMNO Perlu Jana Pemikiran Baharu Demi Kelangsungan Parti - Ahmad Zahid

01/02/2026 11:36 PM

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- UMNO perlu keluar dari zon selesa dengan mengorak satu langkah luar biasa termasuk menjana pemikiran baharu bagi menjadikan parti itu kembali dominan dalam landskap politik negara.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata untuk memastikan kelangsungan parti itu, UMNO tidak boleh lagi dilihat sebagai sebuah parti nostalgia sebaliknya perlu melakukan penjenamaan semula termasuk melibatkan strategi pemasaran politik.

Beliau berkata perkara itu bukan sahaja perlu dilakukan oleh UMNO, sebaliknya turut melibatkan parti-parti lain yang membentuk gabungan Barisan Nasional.

“Kita kena fikir apa hala tuju kita bukan sahaja 20 tahun dari sekarang, malah dalam lebih kurang 22 bulan lagi kita akan hadapi PRU (Pilihan Raya Umum), jadi kita wajib dari sekarang ada produk, penjenamaan dan pemasaran yang baik.

“Kita wajib lakukan sesuatu yang luar biasa, kerana jika rakyat buat keputusan sama seperti PRU 2018 dan 2022, iaitu zaman kejatuhan kita, saya khuatir 20 tahun lagi, pada usia UMNO cecah 100 tahun, kita (UMNO) akan tutup kedai politik kita ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika menghadiri Majlis Makan Malam Ulang Tahun Pertama Sekolah Politik UMNO (SPU) di sini malam ini.

Hadir sama Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Menteri Besar Pahang dan Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata usaha memperkasakan UMNO dan BN juga perlu melibatkan usaha menepis segala naratif serta persepsi jahat yang dilemparkan kepada mereka sehingga mengakibatkan pengundi menjauhi parti itu.

“Kalau produk kita baik pun, tapi persepsi orang luar pada kita negatif, UMNO tidak akan ke mana, persepsi ini mimpi buruk kita semua, jadi kita kena rungkai sebaiknya,” katanya.

Mengulas mengenai SPU, Ahmad Zahid berkata graduan program berkenaan merupakan pemimpin pelapis masa hadapan UMNO selain berperanan sebagai pemikir muda parti dalam membantu menganalisis dan memberikan pandangan kepada kepimpinan tertinggi dalam segala aspek.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan