KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi getah sekerap (cuplump) dan lateks diaktifkan di Sabah dan Sarawak untuk Januari 2026, menurut Lembaga Getah Malaysia (LGM).
Dalam satu kenyataan hari ini, LGM berkata IPG akan diaktifkan sekiranya harga purata bulanan peringkat ladang bagi getah sekerap berada di bawah paras RM3.00 sekilogram atau lebih rendah, dengan insentif bagi lateks diaktifkan secara serentak.
Pada Januari 2026, harga purata peringkat ladang bagi getah sekerap ialah RM3.10 sekilogram di Semenanjung, RM2.75 sekilogram di Sabah dan RM2.70 sekilogram di Sarawak, katanya.
“Kadar IPG bagi lateks ditetapkan pada 90 sen sekilogram bagi lateks dengan Kandungan Getah Kering (KGK) 100 peratus,” kata LGM.
Ia berkata kadar IPG yang diaktifkan bagi getah sekerap dan lateks di Sabah ialah 25 sen sekilogram bagi 50 peratus KGK dan 50 sen sekilogram bagi 100 peratus KGK, manakala di Sarawak masing-masing pada 30 sen sekilogram dan 60 sen sekilogram.
Pekebun kecil di Sabah dan Sarawak layak menerima bayaran IPG dari 1 Februari hingga 28 Februari, 2026 berdasarkan pengeluaran getah pada Januari 2026.
IPG untuk getah sekerap dan lateks tidak diaktifkan di Semenanjung Malaysia bagi Januari 2026. Oleh itu, tiada bayaran IPG akan dilakukan bagi bulan berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial