SUKAN

MFL Gesa Kelab Kawal Tingkah Laku Penyokong

02/02/2026 05:46 PM

KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menggesa semua kelab supaya memantau dan mengawal tingkah laku penyokong masing-masing bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap ketenteraman awam serta keselamatan.

MFL, dalam satu kenyataan hari ini, menegaskan bahawa pihaknya menolak sekeras-kerasnya sebarang unsur negatif dan tindakan tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh segelintir penyokong bola sepak tempatan.

Menurut MFL, sikap dan perlakuan sedemikian bukan sahaja mencetuskan gangguan terhadap ketenteraman dan keselamatan awam, malah mampu mencemarkan imej bola sepak tempatan yang seharusnya menjadi platform penyatuan serta memupuk semangat kesukanan.

Terdahulu, tular beberapa rakaman video di media sosial yang memaparkan sekumpulan penyokong Selangor FC berarak sambil membawa bendera pasukan dari arah bandar raya menuju ke Jambatan Angkat, Kuala Terengganu, sebelum menyalakan suar ketika berada di tengah jambatan berkenaan.

Susulan kejadian itu, seramai 33 penyokong Selangor FC direman hari ini bagi membantu siasatan berhubung kekecohan yang dicetuskan.

Insiden berlaku sebelum perlawanan Selangor FC menentang Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super yang berkesudahan seri 1-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan