AM

YAPEIM Peruntuk RM16.44 Juta Laksana 356 Projek Bina, Baik Pulih Rumah Sejak 2020

02/02/2026 05:43 PM

PASIR PUTEH, 2 Feb (Bernama) -- Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) memperuntukkan RM16.44 juta bagi pelaksanaan 356 projek bina baharu dan baik pulih kediaman di seluruh negara sejak 2020 hingga Disember tahun lepas.

Ketua Pengarah YAPEIM Zabidi Nasan berkata daripada jumlah itu, sebanyak 260 projek telah siap manakala baki 96 projek lagi masih dalam proses pembinaan.

Beliau berkata di Kelantan, YAPEIM melaksanakan 49 projek melibatkan 28 projek bina baharu dan 21 projek baik pulih dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM2.4 juta.

“Bantuan ini bukan sekadar menyediakan tempat tinggal yang lebih selesa, malah menjadi simbol keprihatinan Kerajaan MADANI dalam membina masyarakat penyayang serta memastikan golongan memerlukan tidak tercicir,” katanya kepada Bernama pada Program Sesi Penyerahan Sinar Lestari YAPEIM di sini hari ini.

Pada majlis itu, sebuah rumah baharu bernilai RM85,284 diserahkan kepada penerima manfaat Siti Rubiah Jusoh, 48, hasil kerjasama rakan strategik Cagamas Berhad.

Zabidi berkata sepanjang tahun lepas, YAPEIM berjaya membina dan membaik pulih 80 rumah dan menyasarkan peningkatan sebanyak 10 peratus bagi tahun ini tertakluk kepada peruntukan semasa.

Beliau berkata sejak 1985 hingga November 2025, YAPEIM telah mengagihkan lebih RM725 juta kepada 10.1 juta penerima manfaat di seluruh negara menerusi pelbagai program teras merangkumi pembangunan ekonomi, pendidikan dan kemasyarakatan yang dilaksanakan secara inklusif dan holistik.

Menurut Zabidi, YAPEIM turut mengendalikan operasi pembiayaan mikro melalui Ar Rahnu YAPEIM dengan 201 cawangan di seluruh negara bagi membantu peniaga dan usahawan kecil mendapatkan pembiayaan jangka pendek.

“Sejak 2000 hingga November 2025, Ar Rahnu YAPEIM telah menyantuni kira-kira sejuta penggadai dengan nilai pembiayaan berjumlah RM14.2 juta dan nilai marhun sebanyak RM28.6 bilion,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan