AM

Projek RTB Atasi Masalah Banjir Kilat Di Taman Sejahtera - Exco

03/02/2026 12:27 PM

BUKIT MERTAJAM, 3 Feb (Bernama) -- Masalah banjir kilat yang membelenggu kira-kira 500 penduduk di Taman Sejahtera di sini sejak 13 tahun lepas bakal berakhir berikutan siapnya projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM2.7 juta di kawasan itu. 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata Taman Sejahtera antara lokasi “hot spot” banjir dengan purata kekerapan hingga sembilan kali setahun, selain paras air boleh mencecah ketinggian 300 milimeter (mm) setiap kali hujan lebat.

“Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah memohon peruntukan melalui Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Tebatan Banjir bagi melaksanakan projek ini, yang diluluskan pada 10 Mei 2022 dan dibiayai sepenuhnya melalui Wang Caruman Saliran Kerajaan Negeri dengan kos keseluruhan RM2.7 juta.

“Kerja fizikal projek bermula pada 19 April 2023. Walaupun berdepan lima pelarasan jadual atau lanjutan tempoh (EOT) akibat isu teknikal dan pengalihan utiliti, projek ini akhirnya siap sepenuhnya pada 25 Sept lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan ke tapak projek RTB Taman Sejahtera di sini hari ini, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok Lee Khai Loon.

Zairil berkata skop utama projek melibatkan kerja kejuruteraan komprehensif bagi memastikan sistem saliran mampu menampung kadar hujan tinggi dengan keamatan purata 65mm sejam, merangkumi penaiktarafan sistem perparitan menggunakan “U-drain” dan “box culvert” pelbagai saiz di Lorong Sejahtera 9, 10, 11, 13, 15, 24A, 25 serta Jalan Sejahtera 4.

Beliau berkata projek tersebut turut melibatkan kerja menaik taraf kolam takungan sedia ada seluas 959 meter persegi serta pembinaan kolam takungan baharu seluas 666.6 meter persegi, selain kerja menaik taraf lantai masuk hampir 500 rumah, penurapan semula jalan di sepanjang jajaran terlibat serta pengalihan utiliti.

Sementara itu, Lee berkata projek berkenaan sangat penting dan berimpak tinggi terhadap kesejahteraan penduduk di 100 unit rumah yang telah sekian lama berdepan dengan masalah banjir.

“Taman Sejahtera adalah taman perumahan berusia lebih 30 tahun dan sistem perparitan sedia ada tidak lagi mencukupi bagi menghadapi hujan lebat tetapi selepas pelaksanaan projek ini kita boleh nampak kesan risiko banjir telah berjaya dikurangkan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan