KEPALA BATAS, 3 Feb (Bernama) -- Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menetapkan kadar zakat fitrah bagi negeri itu kepada tiga kategori, iaitu RM10, RM15, dan RM25 untuk tahun ini.
Yang Dipertua MAINPP Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata tiga kategori kadar bayaran zakat fitrah itu ditetapkan berdasarkan jenis beras dimakan dan mengikut kemampuan masing-masing.
"Tiga kadar zakat fitrah yang ditetapkan itu memberikan peluang kepada umat Islam di Pulau Pinang yang memiliki kelebihan dari segi kemampuan menunaikan kewajipan zakat fitrah mengikut kadar makanan asasi utama rakyat Pulau Pinang, iaitu beras putih.
"Maka, kadar zakat fitrah yang wajib ditunaikan di negeri ini ialah RM10 bagi beras putih import, beras putih Thai atau yang setara, RM15 bagi beras rebus, beras perang atau yang setara dengannya, dan RM25 bagi beras wangi, beras pulut, beras herba ponni, beras calrose, beras basmati atau yang setara dengannya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah (Mapaf) dan Sumbangan Ihya Ramadan Kerajaan Negeri Tahun 1447H/2026M, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP Mohamad Kairi Ghazali, di sini hari ini.
Mohamad yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 berkata MAINPP melantik 1,686 amil zakat fitrah melibatkan 239 pusat kutipan di seluruh negeri.
Beliau berkata pihaknya percaya dengan pengalaman yang ada, semua amil mampu menguruskan kutipan itu dengan lebih efisien dan seterusnya meningkatkan lagi jumlah pembayar zakat fitrah pada tahun ini.
Kutipan zakat fitrah pada tahun lepas adalah sebanyak RM8.8 juta, sekali gus melepasi sasaran awal, iaitu RM7.9 juta.
"Saya percaya antara faktor peningkatan itu adalah kesungguhan para amil fitrah yang dilantik menjalankan amanah dan tanggungjawab yang berdedikasi sehingga mencatatkan peningkatan dalam jumlah kutipan serta pembayar zakat fitrah pada tahun lepas," katanya.
Sementara itu, Mohamad berkata kerajaan negeri turut memperuntukkan RM265,000 untuk masjid dan surau bagi menghidupkan suasana Ramadan kali ini, manakala bagi tujuan mengimarahkan solat tarawih, Zakat MAINPP memperuntukkan RM1 juta kepada semua masjid melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).
"Sumbangan itu bukan sekadar bantuan kewangan tetapi juga tanda keprihatinan kerajaan negeri dalam usaha menjadikan masjid dan surau sebagai pusat kesatuan ummah," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial