AM

Malaysia, Ukraine Teroka Peluang Kerjasama Infrastruktur Jalan Raya, Pembinaan - Nanta

03/02/2026 08:35 PM

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Malaysia dan Ukraine sedang meneroka potensi kerjasama dalam bidang pembangunan infrastruktur jalan raya, industri pembinaan dan perkhidmatan profesional.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata perkara tersebut merupakan antara dibincangkan bersama Duta Besar Ukraine ke Malaysia, Dr Nadolenko Hennadii yang melakukan kunjungan hormat ke pejabat beliau hari ini.

“Kami juga bertukar-tukar pandangan mengenai potensi kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak khususnya dalam perkongsian pengetahuan dan pembangunan kapasiti, selaras dengan usaha pembinaan semula Ukraine,” katanya menerusi hantaran di laman X beliau, hari ini.

Nanta berkata reformasi sektor pembinaan Malaysia yang berpandukan Dasar Pembinaan Negara 2030, dengan penekanan terhadap aspek kualiti, kemampanan, pendigitalan, produktiviti serta tadbir urus yang baik turut diketengahkan semasa pertemuan itu.

Selain itu, katanya, pertemuan tersebut juga dapat memperkukuh kerjasama institusi dan menggalakkan kolaborasi strategik antara kedua-dua negara.

Beliau berkata Kementerian Kerja Raya komited memupuk kerjasama antarabangsa yang konstruktif bagi menyokong pembangunan mampan dan kerjasama jangka panjang.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan