EKONOMI

MEF Sambut Baik Gesaan Kerajaan Ke Arah Ekosistem Perniagaan Yang Lebih Kukuh

03/02/2026 10:43 PM

KUALA LUMPUR 3 Feb (Bernama) -- Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) berkata gesaan kerajaan untuk peraturan, penguatkuasaan yang agak kukuh dan ekosistem perniagaan yang lebih menyokong adalah tepat pada masanya di tengah-tengah persaingan global yang semakin sengit di peringkat domestik.

Presiden MEF Datuk Syed Hussain Syed Husman melalui satu kenyataan berkata inisiatif-inisiatif kerajaan ini mencerminkan komitmen padu dalam menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan sambil mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai ekonomi yang terbuka.

Beliau menekankan bahawa MEF tidak menyeru kepada perlindungan menyeluruh tetapi ke arah persekitaran persaingan yang adil dan dikuatkuasakan dengan baik.

MEF mengesahkan sokongannya bagi mengukuhkan dasar kandungan tempatan, termasuk mengutamakan produk dan perusahaan Malaysia dalam pemerolehan awam, penyumberan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta rantaian bekalan nasional.

"Jika syarikat Malaysia tidak dipercayai dan disokong di dalam negara, mereka tidak akan dapat bersaing di luar. Keyakinan domestik adalah asas kepada daya saing global," katanya.

MEF mengalu-alukan tumpuan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi terhadap peningkatan produktiviti, pengurangan birokrasi, tambahan akses kepada modal serta peluang pasaran yang diperluas.

Syed Hussain menjelaskan banyak PMKS mempunyai produk yang berdaya maju, jenama yang baik dan kesetiaan pelanggan tetapi tidak mempunyai ruang kewangan untuk skala.

MEF komited untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi membina PMKS yang berdaya tahan, mampu bersaing dan mampan, melalui penguatkuasaan yang lebih kukuh untuk memastikan keadilan pasaran, memacu pendigitalan serta automasi, melonjakkan kemahiran, pembangunan tenaga kerja, selain integrasi yang lebih mendalam ke dalam pasaran tempatan dan eksport.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim dipetik dalam laporan berita hari ini berkata perniagaan Malaysia sedang bergelut dengan peningkatan persaingan asing dan kos yang lebih tinggi untuk menjalankan perniagaan di tengah-tengah cabaran ekonomi global.

Penyelarasan dengan Kementerian Kewangan, institusi kewangan dan agensi ekonomi sedang dipergiatkan bagi mengurangi kesesakan birokrasi selain menambah baik akses kepada modal, katanya lagi.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan