KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Skuad wanita negara memulakan kempen Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2026 di Qingdao dengan langkah kiri selepas tewas 1-4 kepada tuan rumah, China, dalam aksi Kumpulan W hari ini.
China terlebih dahulu mendahului perlawanan di Gimnasium Conson, Pusat Sukan Qingdao, menerusi perseorangan utama mereka Han Qian Xi yang menewaskan K. Letshanaa 21-18, 21-10 dalam masa 40 minit.
Kelebihan tuan rumah digandakan apabila gandingan beregu pertama, Jia Yi Fan–Zhang Shu Xian, mudah mengatasi Ong Xin Yee–Carmen Ting 21-10, 21-8.
China kemudian mengukuhkan kedudukan 3-0 selepas Xu Wen Jing hanya memerlukan 29 minit untuk menewaskan Wong Ling Ching 21-14, 21-7 dalam aksi perseorangan kedua.
Malaysia bagaimanapun meraih satu mata menerusi beregu kedua apabila Low Zi Yu–Noraqilah Maisarah Ramdan bangkit menewaskan Luo Yi–Wang Ting Ce 13-21, 21-18, 21-17 dalam perlawanan selama 65 minit.
Namun, China memastikan kemenangan apabila pemain perseorangan ketiga mereka Yuan An Qi terlalu ampuh buat Oo Shan Zi dengan kemenangan 21-11, 21-11 dalam perlawanan penutup.
Kekalahan itu tidak menjejaskan kemaraan skuad negara ke suku akhir kerana Kumpulan W hanya dibarisi China dan Malaysia, dengan dua pasukan teratas layak ke pusingan lapan terbaik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial