KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyempurnakan Majlis Minggu Seri-Ibu Kraf CIMB, yang berlangsung hari ini sehingga 1 Mac depan, bertempat di KLGCC Mall, di sini.
Keberangkatan tiba Tunku Azizah pada pukul 3 petang disambut oleh Pengerusi CIMB Group Holdings Bhd Datuk Syed Zaid Albar.
Acara yang bertujuan meraikan kraf Malaysia dan memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam industri kreatif itu menampilkan lebih 30 butik fesyen daripada pereka terkemuka dan yang sedang meningkat naik, selain hasil kraftangan artisanal dalam pelbagai medium termasuk tekstil, kayu, kaca dan logam.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group Novan Amirudin dalam kenyataan memaklumkan bahawa majlis tersebut mengukuhkan komitmen CIMB untuk memperkasa PKS dengan menyediakan platform yang menyokong penambahbaikan kemahiran, pembinaan rangkaian dan penciptaan nilai jangka panjang.
“Dengan menyokong keusahawanan dan kraf Malaysia dalam bentuk kontemporari dan warisan, kami berhasrat membantu perniagaan menjadi mampan sambil memelihara reka seni ini untuk generasi mendatang, selari dengan matlamat kami dalam memperkasa pelanggan dan masyarakat,” katanya.
Antara usahawan kraf yang mengambil bahagian termasuk pengeluar tenun dan anyaman seperti Terengganu Songket, Manang Songket, Samyama by John Ang, Tanoti dan MyPride, selain pereka fesyen Radzuan Radziwill, Tom Abang Saufi, Pink Jambu, Arun Sayfull, Shanell Harun, Tinta Sutera, Qudyn Aziz dan Kekean Wastra Gallery.
Novan berkata sempena acara itu, program Saudagar CIMB untuk PKS dari semua sektor turut dianjurkan bagi membantu peserta mengasah kemahiran selaku pemilik perniagaan, manakala sesi padanan perniagaan menyediakan peluang untuk kerjasama, pembiayaan dan jualan silang.
Beliau berkata program itu menyasarkan penyertaan 300 PKS daripada pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, fesyen serta pengurusan hartanah.
”Perkongsian topik seperti aliran tunai berbanding keuntungan, pengurusan perbelanjaan, penjenamaan, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI), selain strategi penskalaan daripada pengeluaran kecil kepada pasaran eksport turut disediakan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial