KUALA NERUS, 5 Feb (Bernama) -- Terengganu meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor, Ogos depan.
Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSNT) Terengganu Ahmad Shahrizal Yahaya berkata pihaknya kini pada peringkat akhir untuk menentukan sasaran kutipan pingat oleh kontinjen.
Beliau berkata untuk edisi ke-22 itu, Terengganu akan menghantar lebih 500 atlet yang akan mengambil bahagian dalam 35 daripada 37 acara dipertandingkan.
"Pada SUKMA 2024 di Sarawak, kontinjen Terengganu menduduki tempat kelima dengan kutipan 41 pingat emas, perak (36) dan gangsa (47).
"Untuk penganjuran kali ini, kita tetapkan sasaran tiga kelompok terbaik dan bukannya juara kerana lebih rasional dan tidak mahu terlalu memberi tekanan kepada atlet yang 60 peratus terdiri daripada muka baharu," katanya pada Majlis Watikah Pelantikan Ketua Kontinjen, Bapa Angkat Sukan dan Jabatan Angkat Sukan Kontinjen Terengganu Temasya SUKMA 2026 di sini malam tadi.
Upacara penyerahan watikah disempurnakan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu Hishamuddin Abdul Karim.
Pada majlis itu, Timbalan Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Datuk Rosli Latif dilantik sebagai Ketua Kontinjen SUKMA 2026.
Ahmad Shahrizal berkata kontinjen Terengganu juga pada fasa ketiga persiapan serta latihan yang merangkumi tiga strategi utama, termasuk memperkemas pasukan dengan pemilihan atlet terkuat, meningkatkan kekerapan penyertaan kejohanan di dalam dan luar negara serta mengadakan latihan tertutup dengan pasukan lain yang berpotensi bagi pemantapan atlet.
"Dengan suntikan RM5 juta daripada kerajaan negeri untuk perbelanjaan menghadapi SUKMA, kita harap perjalanan pasukan untuk mencapai sasaran ditetapkan berjalan lebih lancar," katanya.
Pada majlis itu, Ahmad Samsuri turut menyampaikan insentif Skim Wakil Negara dan Hadiah Kemenangan berjumlah RM239,300 kepada 102 atlet Terengganu yang menyertai Sukan SEA 2025 pada 9 hingga 20 Dis tahun lepas dan Sukan Para ASEAN 2025 yang berlangsung pada 20 hingga 26 Jan.
Ahmad Samsuri berkata secara keseluruhan sebanyak 20 atlet dari Terengganu telah berjaya menghadiahkan tujuh pingat emas, perak (tujuh pingat) dan gangsa (13) untuk negara pada Sukan SEA 2025 manakala atlet Para ASEAN 2025 menyumbang empat pingat emas, perak (tujuh) dan gangsa (tiga).
"Antara acara dimenangi ialah sukan berbasikal, gimnastik, pencak silat, memanah, hoki, para badminton, para olahraga dan para pingpong.
"Insentif ini adalah tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap usaha atlet mengharumkan nama negara dan negeri. Pencapaian ini lebih baik daripada pencapaian pada temasya sama di Kemboja pada 2023," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial