AM

KPDN Cadang Wujudkan ODR Bersepadu Dalam Reformasi E-dagang - Armizan

05/02/2026 12:58 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bercadang mewujudkan satu kerangka penyelesaian pertikaian yang lebih komprehensif melalui platform penyelesaian pertikaian dalam talian (ODR) bersepadu.

Menteri berkenaan Datuk Armizan Mohd Ali berkata cadangan itu antara dapatan menerusi kajian dilaksanakan KPDN untuk mereformasikan kerangka perundangan e-dagang sedia ada, berikutan aduan berkaitan transaksi e-dagang sebanyak 33,400 yang diterima kementerian itu antara 2023 hingga 2025.

"ODR ini adalah sebagai langkah penambahbaikan kepada ADR (penyelesaian pertikaian alternatif) sedia ada yang akan melibatkan proses rantaian lengkap, daripada pemfailan hingga ke proses adjudikasi ataupun keputusan dan ODR berbeza dengan ADR sekarang yang masih lagi melibatkan elemen manual ataupun fizikal.

"Kita (KPDN) harap dan sasarkan dapat dibentangkan dalam mesyuarat (Dewan Rakyat) yang akan datang. Kita harap sokongan daripada ahli-ahli Yang Berhormat supaya pindaan-pindaan yang dilaksanakan, reformasi yang kita ingin bawa kepada perundangan e-dagang ini untuk mewujudkan ekosistem e-dagang yang lebih sihat, mampan dan progresif sekali gus mengakhiri jumlah aduan yang tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang antaranya ingin tahu status cadangan untuk KPDN melaksanakan lesen khas perniagaan atas talian untuk menangani segala isu berkaitan e-dagang.

Armizan berkata kajian yang dilaksanakan KPDN itu turut menyarankan sama ada diperkenalkan rejim pelesenan khusus bagi perniagaan e-dagang atau menggunakan pendekatan berasaskan risiko.

"Jadi ini dua perkara yang masih kita pertimbangkan dan kita akan angkat kepada Jemaah Menteri untuk mendapatkan keputusan dasar sebelum keputusan dibawa dalam rang undang-undang (berkaitan e-dagang), sama ada menggunakan rejim pelesenan ataupun pendekatan berasaskan risiko yang melibatkan pematuhan kendiri daripada pengendali-pengendali e-dagang ini," katanya.

Mengenai statistik aduan pengguna dari 2023 hingga 2025, Armizan berkata sebanyak 83,239 aduan merangkumi pelbagai kategori di bawah bidang kuasa KPDN diterima dengan kategori aduan tertinggi adalah dakwaan penipuan dalam talian iaitu berjumlah 33,400.

"Jenis-jenis aduan yang diterima antaranya adalah harga barang perkhidmatan mengelirukan, tidak menerima barang perkhidmatan yang ditawarkan, barang perkhidmatan yang diterima tidak seperti yang ditawarkan, cetak rompak dalam talian, barang tiruan dalam talian dan menaja skim piramid dalam talian," katanya.

Beliau berkata sebanyak 1,136 kes telah diselesaikan antaranya melibatkan kesalahan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599), Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730), Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) serta Akta Bank Simpanan Nasional Berhad 1997 (Akta 571), dengan jumlah kompaun keseluruhan sebanyak RM880,625 bagi tempoh 2023 hingga 2025.

"Bagi kes di bawah Akta 599, sebanyak dua kes telah didakwa di mahkamah, melibatkan kesalahan di bawah peruntukan Seksyen 12 Akta 599 iaitu gambaran mengelirukan mengenai harga dengan jumlah keseluruhan denda yang telah dikenakan sebanyak RM16,500," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan