AM

KPM Beri Keutamaan Calon Simpanan SPP Tampung Keperluan Guru Tahun Depan - Wong

05/02/2026 02:47 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) akan menggerakkan calon simpanan dalam senarai Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bagi mengisi kekurangan atau kekosongan guru sebagai persediaan menghadapi keperluan pengajaran tahun depan.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata keutamaan akan diberikan kepada calon-calon simpanan berkenaan sekiranya opsyen yang dipegang memenuhi kehendak, kekurangan atau kekosongan opsyen yang dikenal pasti untuk tahun depan.

Beliau berkata langkah itu diambil susulan jangkaan berlakunya situasi dua kohort melibatkan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke tahun satu secara sukarela bermula 2027, yang memerlukan penambahan guru.

“Oleh sebab itu, pihak KPM telah pun membuat keputusan berkolaborasi dengan SPP iaitu 20,000 guru akan diambil secara lantikan kontrak (COS) kerana daripada Institut Pendidikan Guru (IPG) itu unjurannya sebelum ini adalah untuk kemasukan satu kohort sahaja. 

“Apabila kita memerlukan guru tambahan bagi tahun 2027, kita mengambil guru secara COS dengan kita mengambil guru dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai ikhtisas, maka pelantikan boleh dibuat pada tahun ini untuk menampung keperluan pada tahun hadapan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Wong menjawab soalan tambahan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan menyerap graduan pendidikan awal anak-kanak sama ada IPG atau Institut Pendidikan Tinggi (IPT) ke skim Gred DG9 untuk mengatasi jangkaan isu kekurangan guru pada 2027 susulan pelaksanaan dasar kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke tahun satu secara sukarela.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata KPM telah menempatkan sebanyak 3,237 guru baharu di Sarawak berdasarkan kepada kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran di negeri itu, tahun lepas.

“Setakat 31 Dis 2025, jumlah guru yang berkhidmat di Sarawak adalah 42,315 orang daripada jumlah perjawatan 43,257 orang dengan peratus pengisian sebanyak 97.82 peratus,” katanya menjawab soalan Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubok Antu) yang ingin tahu usaha KPM bagi menyelesaikan isu penempatan guru di Sarawak.

Wong berkata urusan pengambilan guru dilaksanakan SPP berdasarkan kekosongan jawatan dan juga keperluan opsyen mata pelajaran di peringkat KPM.

“Semua calon perlu melalui tapisan dan saringan yang ditetapkan oleh SPP, memenuhi syarat skim perkhidmatan, padanan kluster mata pelajaran, berjaya dalam temu duga dan diperaku sihat oleh pengamal perubatan yang berdaftar untuk dilantik oleh SPP.

“Dalam konteks ini, KPM akan terus komited dalam menambah baik proses pengambilan guru baharu, dengan mempertingkatkan sinergi dan bekerjasama rapat dengan SPP bagi memastikan isu pengisian guru di seluruh negara dapat ditangani,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan