JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah Persekutuan Putuskan Perkataan "menghina" Dan "menjengkelkan" Selaras Perlembagaan

06/02/2026 12:18 PM

PUTRAJAYA, 6 Feb (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa perkataan “menghina" dan "menjengkelkan" di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) adalah sah dan selaras dengan Perlembagaan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan bahawa sebarang komunikasi dalam talian yang bersifat lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau menyinggung dengan niat untuk menjengkelkan, mendera, mengugut atau menggangu orang lain merupakan suatu kesalahan jenayah.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan penting itu selepas membenarkan sebahagian rayuan kerajaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini memutuskan dua perkataan itu di bawah akta berkenaan sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Turut bersidang hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah, 

Hakim Nallini ketika menyampaikan keputusan sebulat suara itu, berkata tujuan Seksyen 233 (1) (a) akta berkenaan adalah untuk mengawal penggunaan tidak wajar kemudahan dan perkhidmatan rangkaian dengan matlamat menyediakan persekitaran dalam talian yang selamat.

“Seksyen itu bertujuan melindungi individu dan masyarakat daripada mengalami sebarang kemudaratan akibat penggunaan perkataan tidak wajar sedemikian,” katanya sambil menegaskan seksyen itu menyasarkan komunikasi yang berada di luar skop kebebasan bersuara dan kebebasan menyatakan pendapat.

Bagaimanapun, berhubung kes aktivis Heidy Quah, beliau berkata mahkamah berpendapat pendakwaan sepatutnya tidak diteruskan terhadapnya kerana kandungan hantaran beliau di Facebook adalah dalam skop hak kebebasan bersuara dan menyuarakan pendapat di bawah Perkara 10 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan, dan tidak boleh dijadikan asas untuk mendakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) akta itu.

Tahun lepas, Mahkamah Rayuan memutuskan perkataan "menghina "dan "menjengkelkan" dalam Seksyen 233 sebagai tidak berperlembagaan dan membatalkannya selepas membenarkan rayuan Quah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak samannya pada 2023.

Pada Julai 2021, Quah, 31, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan membuat kenyataan menyinggung perasaan menerusi satu hantaran di Facebook dan pada 2022, beliau dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) selepas mahkamah mendapati pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) adalah cacat.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan