AM

Bomba Guna Helikopter Kawal Kebakaran Tanah Gambut Di Muar

06/02/2026 07:27 PM

MUAR, 6 Feb (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini mula menggunakan teknik pengeboman air menerusi helikopter bagi mengawal kebakaran kawasan tanah gambut di Batu 13 dan 14, Bakri di sini.

Ketua Zon 4 JBPM Johor Norshuhada Amsari berkata operasi pengeboman air pada hari ketujuh kebakaran di kawasan itu bermula kira-kira 9 pagi, yang memfokuskan Sektor D, iaitu kawasan kebakaran terbesar dengan keluasan dianggarkan 88 hektar.

Beliau berkata sehingga tengah hari, helikopter Unit Udara JBPM telah melaksanakan kira-kira 15 kali pemadaman dengan jumlah penggunaan air dianggarkan 12,000 liter menggunakan sumber air berhampiran, dengan setiap penerbangan membawa kira-kira 800 liter air.

“Operasi disambung semula pada 3.30 petang selepas dihentikan seketika bagi memberi laluan kepada juruterbang dan anggota terlibat menunaikan solat Jumaat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

 Norshuhada berkata helikopter jenis Agusta AW139 (9M-BOD) dijangka meneruskan operasi pemadaman selama dua hari sehingga esok, bergantung kepada keperluan dan keadaan kebakaran.

Beliau berkata operasi pemadaman keseluruhan hari ini melibatkan empat sektor kebakaran dengan kekuatan lapan anggota Unit Udara JBPM termasuk juruterbang manakala Zon 4 JBPM Johor menggerakkan sebanyak 73 anggota dan pegawai.

“Kebakaran melibatkan empat sektor, iaitu Sektor A seluas 10 hektar, Sektor B (empat hektar), Sektor C (lapan hektar) dan Sektor D yang dianggarkan 88 hektar. Kami agak terkejut dengan keluasan kebakaran di Sektor D selepas penilaian terperinci dilakukan oleh Unit Udara,” katanya.

Beliau berkata sebelum ini operasi pemadaman di Sektor B dan C terpaksa menggunakan sumber air daripada telaga tiub berikutan kekurangan bekalan air serta tekanan yang rendah di kawasan terbabit.

Sehingga 1 tengah hari ini, kebakaran di Sektor A berjaya dipadamkan sebanyak 96 peratus manakala Sektor B dan C masing-masing mencatatkan pemadaman sepenuhnya.

Beliau bagaimanapun berkata hanya kira-kira sembilan peratus kebakaran di Sektor D berjaya dikawal setakat ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan