KOTA BHARU, 6 Feb (Bernama) -- Polis Kelantan berjaya menggagalkan kegiatan penyeludupan selepas menahan 24 pendatang tanpa izin terdiri daripada warga Myanmar, China, Bangladesh dan Afghanistan di tebing sungai Pasir Pekan Hulu, Wakaf Bharu, Tumpat semalam.
Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Mohd Khairi Shafie berkata kesemua migran yang ditahan berusia antara dua hingga 42 tahun dan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.
“Sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat berjaya menggagalkan kegiatan penyeludupan selepas menahan tiga kenderaan, iaitu dua kenderaan Nissan X-Trail dan sebuah kenderaan Honda City yang disyaki digunakan dalam kegiatan penyeludupan migran masuk ke negara ini.
“Bagaimanapun, pemandu ketiga-tiga kenderaan yang belum dikenal pasti identiti berjaya meloloskan diri dengan melarikan diri ke kawasan tebing sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata anggota polis dengan bantuan pasukan bomba cuba mengesan dan menjejaki suspek di kawasan tebing sungai, namun gagal disebabkan jarak penglihatan yang terhad serta keadaan tebing yang gelap.
“Siasatan awal mendapati kesemua migran itu memasuki negara ini melalui sungai berhampiran dengan menaiki bot daripada Thailand.
“Kesemua migran dan rampasan kenderaan dibawa ke IPD Tumpat untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 55E dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial