AM

PM Anwar Hadiri Tayangan Perdana "Taj Mahal: An Eternal Love Story"

06/02/2026 11:39 PM

PUTRAJAYA, 6 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa menghadiri sesi pratonton khas filem epik sejarah dari India, Taj Mahal: An Eternal Love Story bagi menyantuni sahabat lamanya, iaitu penulis, penerbit dan pengarah filem berkenaan Akbar Khan.

Anwar tiba di pawagam GSC di IOI City Mall pada 8 malam dan beramah mesra dengan tetamu yang hadir.

Kehadiran Anwar dan sahabatnya itu menggariskan peranan sinema sebagai jambatan antara negara serta wahana nilai kemanusiaan sejagat.

Anwar kemudian meluangkan masa menonton filem yang mengangkat kisah cinta agung antara Maharaja Mughal Shah Jahan dengan Mumtaz Mahal, digarap sebagai penceritaan semula sejarah yang menonjolkan tema kesetiaan, pengorbanan serta legasi cinta abadi, dengan latar keagungan seni bina ikon dunia, Taj Mahal.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Hans Isaac.

Tayangan khas di GSC IOI City Mall itu menjadi prelude kepada pelancaran komersial global pertama filem berkenaan, sekali gus menandakan permulaan jelajah antarabangsa Taj Mahal.

Pemilihan Kuala Lumpur sebagai lokasi gala perdana dunia mencerminkan keyakinan terhadap pasaran tempatan serta peranan Malaysia sebagai hab budaya dan diplomasi serantau yang berupaya menganjurkan tayangan bertaraf dunia, sekali gus meraikan warisan bersama serta memupuk dialog antarabangsa melalui seni.

Selama 22 tahun selepas tayangan asalnya di India, karya sinematik pemenang anugerah itu dihidupkan semula melalui proses restorasi digital 4K yang menyeluruh, disertai adunan semula bunyi Dolby Atmos.

Pendekatan itu menawarkan pengalaman tontonan imersif kepada penonton masa kini, sambil mengekalkan keagungan asal filem berkenaan dan meningkatkannya ke standard teknikal moden.

Selepas debut di Malaysia, filem itu akan meneruskan jelajah antarabangsa ke Indonesia pada 13 Feb ini, sebelum diperluas ke Rusia, Asia Selatan, Timur Tengah dan pasaran Barat.

Sebagai negara pertama yang menjadi tuan rumah kepada pelancaran global baharu itu oleh Veedu Production Sdn Bhd selaku pengedar bersama FINAS, Malaysia tampil sebagai landasan utama yang membawa mesej penting kepada dunia bahawa cinta, budaya dan hubungan kemanusiaan melangkaui sempadan dan waktu.

Filem Taj Mahal: An Eternal Love Story dijadualkan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula hari ini.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan