IPOH, 7 Feb (Bernama) -- Pemantauan berterusan dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak bagi memastikan wabak tuberkulosis (tibi) atau batuk kering tidak menular dalam komuniti.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak Datuk A. Sivanesan berkata situasi wabak itu di Perak masih terkawal selain tidak melibatkan sebarang penularan kes seperti yang dilaporkan di Johor pada 25 Jan lepas.
“JKN Perak sentiasa memantau trend kejadian penyakit tibi dalam komuniti dan mengambil tindakan pencegahan serta kawalan sewajarnya. Setakat Januari lepas, terdapat 100 kes tibi kumulatif dilaporkan di negeri Perak yang sedang mendapatkan rawatan.
“JKN Perak turut mengambil maklum kenyataan media yang dikeluarkan oleh JKN Johor pada 5 Feb lepas. Berdasarkan maklumat setakat ini, tiada kaitan antara kes tibi di Kota Tinggi dengan mana-mana individu di Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-30 Hospital Pantai Ipoh, di sini hari ini.
Pada 5 Feb lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan satu kluster tibi dikesan di Kota Tinggi membabitkan 33 kes positif hasil saringan ke atas 804 kontak rapat sejak 25 Jan hingga 4 Feb lepas.
Sementara itu, Sivanesan berkata mana-mana individu yang mempunyai simptom penyakit berkenaan seperti batuk berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh pada waktu malam dan hilang selera makan supaya menjalani saringan di 89 klinik kesihatan di seluruh negeri.
“Tibi adalah penyakit yang perlu dilaporkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi membolehkan pengesanan kontak rapat dilakukan serta memutuskan rantaian jangkitan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial