DUNIA

Kompromi Politik Dilakukan Untuk Jaga Keutuhan, Kesatuan Bangsa Majmuk - PM Anwar

08/02/2026 12:25 AM

JAKARTA, 7 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kompromi politik seringkali dilakukan untuk menjaga keutuhan dan kesatuan bangsa yang majmuk.

Beliau menegaskan bahawa realiti politik menuntut penyelesaian yang nyata, tidak bergantung kepada teori atau idealisme yang bersifat abstrak.

Beliau berkata realiti politik tidak bersifat steril kerana ia sering melibatkan pertembungan pemikiran dan kepentingan.

Anwar berkata Menteri Koordinator Bidang Hukum, Hak Asasi Manusia, Imigrasi dan Pemasyarakatan Indonesia, Prof Dr Yusril Ihza Mahendra merupakan antara tokoh yang memahami hakikat itu secara mendalam.

“Sebagai pakar di bidang undang-undang, Yusril memahami bagaimana perlembagaan membentuk struktur negara yang menekankan kedaulatan rakyat, demokrasi serta prinsip semak dan imbang antara institusi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran lapan buku Rekam Jejak 70 tahun Prof Dr Yusril Ihza Mahendra, Menteri Koordinator Bidang Hukum, Hak Asasi Manusia, Imigrasi dan Pemasyarakatan Indonesia, di sini pada Sabtu.

Teks ucapan Anwar dibacakan Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin.

Majlis itu turut dihadiri Naib Presiden Indonesia Gibran Rakabuming Raka.

Menurut Anwar, sebagai sarjana politik dan pemikir, Yusril turut memahami bagaimana dinamika politik bergerak seiring perubahan sosial dan geopolitik.

“Dalam konteks itulah Yusril menempatkan Islam sebagai norma dan nilai-nilai universal yang dapat menjiwai kehidupan berbangsa dan bernegara,” katanya.

Anwar turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat hari ulang tahun ke-70 kepada Yusril.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan