AM

Kerajaan Agih RM200 Juta Bantuan Wang Ihsan Kepada Mangsa Banjir Tahun Lepas - Ahmad Zahid

08/02/2026 07:39 PM

KUALA NERUS, 8 Feb (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan mengagihkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) melibatkan peruntukan sebanyak RM200 juta kepada semua mangsa banjir di seluruh negara tahun lepas.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebanyak 97 peratus pembayaran BWI telah diagihkan manakala baki tiga peratus akan diselesaikan dalam masa kurang dari tiga bulan lagi.

“Lagi tiga peratus itu belum diagihkan berikutan terdapat sedikit permasalahan seperti dokumen yang tidak lengkap dan ia sedang dikemas kini oleh jawatankuasa bencana di peringkat daerah.

“Ia (bayaran) akan selesai tidak lebih dari tiga bulan apabila dokumen semua lengkap,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Permukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Tahun 2026 dan Pelancaran Pelan Strategik KKDW Tahun 2026-2030 di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri KKDW Datuk Rubiah Wang.

Dalam pada itu beliau berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai penambahbaikan BWI termasuk meningkatkan jumlah bantuan dan memastikan mangsa banjir menerima wang tersebut ketika masih berada di pusat pemindahan sementara.

Beliau berkata dengan adanya BWI, mangsa banjir dapat segera membaiki kerosakan barangan dan peralatan di rumah mereka yang terjejas akibat bencana tersebut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan