AM

Sinergi Kerajaan, Industri Pastikan Keperluan Ramadan Kekal Mampu Milik - Ahmad Zahid

08/02/2026 07:44 PM

KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Sinergi antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat akan terus diperkasa bagi memastikan keperluan serta kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan khususnya menjelang Ramadan dan Aidilfitri.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebagai pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara, beliau percaya usaha menangani kos sara hidup memerlukan ekosistem yang bergerak secara bersepadu.

“Hari ini saya berkesempatan menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Mega Rahmah Ramadan dan Kasih Syawal anjuran Mydin Mohamed Holdings Berhad di Mydin HQ USJ Subang yang mencerminkan komitmen berterusan kita dalam membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan dan kelengkapan hari raya pada harga mampu milik,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata pelancaran kempen itu turut memperkasa produk tempatan agar terus berkembang dalam pasaran arus perdana.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menyempurnakan pelancaran produk minyak masak jenama Kak Long, yang bakal memasuki rangkaian pasaran Mydin.

“Saya melihat kemasukan produk tempatan seperti ini sebagai satu langkah positif dalam membuka lebih banyak ruang kepada usahawan tempatan untuk berkembang dan bersaing secara sihat dalam pasaran runcit negara.

“Teruslah menyokong produk tempatan kerana setiap sokongan itu membantu mengukuhkan ekonomi rakyat serta membuka peluang kepada lebih banyak usahawan untuk melangkah lebih jauh,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan