SIBU, 8 Feb (Bernama) -- Ketua masyarakat dan ketua kaum perlu melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah serta memberi perkhidmatan kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang politik, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Dudong Datuk Seri Tiong King Sing.
Tiong yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata pelantikan sebagai ketua masyarakat bukan sekadar jawatan, sebaliknya satu amanah besar yang menuntut komitmen, integriti dan kesediaan membantu rakyat terutama ketika menghadapi kesusahan.
“Apabila sudah diberi kepercayaan memegang jawatan, jalankan tugas dengan sebaiknya.
“Jangan pegang jawatan tetapi tidak menjalankan tanggungjawab,” katanya berucap pada Majlis Penyampaian Notis dan Sijil Pelantikan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong dan DUN Bawang Assan di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk menukar mana-mana ketua masyarakat sekiranya didapati gagal menjalankan tugas atau tidak lagi mendapat keyakinan masyarakat.
Tiong berkata ketua masyarakat juga tidak seharusnya terlalu aktif dalam politik kepartian sehingga menjejaskan peranan mereka sebagai wakil kerajaan di peringkat akar umbi.
“Sebagai ketua masyarakat, kita mesti berlaku adil dan memberi perkhidmatan kepada semua tanpa mengira parti. Undang-undang kerajaan negeri jelas dalam perkara ini,” katanya.
Beliau turut mengingatkan golongan itu supaya setiap isu yang timbul di peringkat komuniti ditangani secara berhemah dan jika perlu, dirujuk kepada pejabat daerah atau pihak pentadbiran bagi memastikan keputusan yang dibuat adil kepada semua pihak.
Selain itu, Tiong menggesa semua pihak menghormati keputusan jawatankuasa pemilihan KMKK serta tidak mempertikaikan proses pelantikan yang telah ditetapkan.
Mereka yang tidak lagi memegang jawatan, katanya masih boleh terus menyumbang kepada masyarakat melalui platform lain sekiranya mempunyai niat untuk berkhidmat.
“Yang penting ialah semangat perpaduan dan keikhlasan untuk membantu rakyat,” katanya sambil berharap semua ketua masyarakat dan ketua kaum dapat memperkukuh kerjasama serta meningkatkan mutu perkhidmatan demi kesejahteraan komuniti setempat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial