EKONOMI

Kinergy Meterai VPPA Tenaga Hidro Dengan Safran

09/02/2026 04:18 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga mampan Kinergy Advancement Bhd memeterai perjanjian pembelian tenaga maya korporat (VPPA) dengan Safran Landing Systems Malaysia untuk memanfaatkan aset tenaga hidro bagi menyediakan bekalan tenaga hijau yang stabil dan boleh dijadualkan.

Kinergy menjelaskan VPPA itu, dilaksanakan melalui anak syarikat tenaga pihaknya, KAB Energy Holdings Sdn Bhd, meliputi penjanaan elektrik boleh baharu dengan pengeluaran tahunan antara 80 hingga 108 gigawatt-jam sepanjang tempoh 21 tahun bermula dari tarikh operasi komersial, dengan pilihan untuk dilanjutkan.

“Kinergy boleh menyokong objektif indeks hijau Safran dan menetapkan model boleh skala untuk syarikat memperoleh beban asas tenaga hijau sejajar dengan piawaian pelaporan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” tambahnya dalam kenyataan hari ini.

Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Kinergy, Datuk Lai Keng Onn berkata banyak syarikat multinasional di Malaysia mahu beralih kepada tenaga hijau dengan lebih pantas berbanding kemampuan infrastruktur fizikal sedia ada.

“Kami menunjukkan komitmen berterusan terhadap pertumbuhan dan kesinambungan dengan menandatangani VPPA berasaskan tenaga hidro bersama Safran seterusnya membangunkan inisiatif tenaga boleh baharu yang dilaksanakan sebelum ini,” katanya.

Tidak seperti perjanjian pembelian tenaga fizikal konvensional, VPPA adalah kontrak kewangan yang berkaitan dengan penjanaan tenaga boleh baharu.

Melalui mekanisme itu, Kinergy membekalkan elektrik boleh baharu ke grid tenaga negara, manakala pengguna korporat memperoleh manfaat alam sekitar berkaitan serta lindung nilai kewangan yang berkaitan dengan pengeluaran tenaga boleh baharu tersebut.

Operasi Safran di Malaysia telah mencapai pengurangan bersih kira-kira 27 peratus pelepasan karbon berbanding asas pada 2018, disokong oleh pemasangan sistem solar di tapak, penggunaan tenaga daripada sisa serta penambahbaikan kecekapan di fasiliti Sendayan Techvalley.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan