AM

Bekalan Air Di Melaka Mencukupi Untuk Aidilfitri - Exco

09/02/2026 05:44 PM

ALOR GAJAH, 9 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka memberi jaminan bekalan air di negeri itu mencukupi untuk kegunaan penduduk khususnya pada musim perayaan Aidilfitri meskipun berdepan cuaca panas dan kering ketika ini, dengan pelbagai langkah diambil untuk memastikan bekalan air kekal stabil.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata paras semasa Empangan Durian Tunggal berada pada 78 peratus, Empangan Jus (73 peratus) dan Empangan Asahan (100 peratus).

"Berdasarkan tekanan air semasa di semua tasik dan kolam tadahan, negeri ini berupaya menampung keperluan bekalan air dan paras ini masih berada di tahap selamat.

"Badan Kawal Selia Air Melaka (BKSA) dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) juga sedang menggerakkan aliran air daripada sumber-sumber sedia ada bagi memastikan bekalan terus stabil,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau meninjau kawasan tadahan air di Empangan Durian Tunggal, dengan turut disertai Pengarah BKSA Melaka Azizul Adzran Mahmor dan Ketua Pegawai Eksekutif SAMB Datuk Mohd Saleh Jusman.

Hameed berkata berdasarkan unjuran Jabatan Meteorologi, hujan dijangka berlaku sebelum April dan sekiranya tiada hujan dalam tempoh itu, bekalan air masih berupaya bertahan hingga enam bulan dengan pengurusan bekalan secara berjadual.

Beliau berkata BKSA dan SAMB turut melaksanakan langkah awal dengan mengoptimumkan sumber air mentah melalui tiga sungai utama iaitu Sungai Batang Melaka, Sungai Melaka dan Sungai Kesang.

Pelepasan air dari Empangan Jus, katanya telah dilakukan melalui Sungai Batang Melaka bagi membekalkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Gadek, manakala pelepasan air dari Tasik Chinchin disalurkan ke Sungai Kesang untuk menyokong bekalan ke LRA Merlimau dan LRA Jus.

Hameed berkata Sungai Melaka terus menampung keperluan air mentah bagi loji-loji rawatan di kawasan bandar termasuk Bukit Sebukor dan Bertam yang masih menerima bekalan mencukupi.

"Kita juga akan meningkatkan tahap pemantauan sekiranya paras air empangan utama menurun bawah 70 peratus dan langkah catuan hanya akan dipertimbangkan jika paras empangan mencapai 65 peratus.

"Justeru, orang ramai diminta menggunakan air secara berhemat dan memaklumkan kepada SAMB sekiranya berlaku kebocoran paip di mana-mana lokasi," katanya.

-- BERNAMA  
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan