KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Kerajaan bersetuju memberikan elaun pertukaran dan perpindahan kepada doktor kontrak yang menerima lantikan tetap di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2025.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pemberian pertama kali seumpamanya itu melibatkan kelayakan pegawai menuntut elaun makan, bayaran sewa hotel atau elaun lojing, tambang perjalanan, tambang pengangkutan barang, pemberian pindahan dan belanja pelbagai.
Beliau berkata tuntutan dibenarkan sehingga 100 peratus bagi pertukaran antara wilayah dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak atau Labuan atau sebaliknya.
“Bagi pertukaran dalam Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan, tuntutan itu dihadkan kepada 50 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan tuntutan.
“Diharapkan elaun ini dapat membantu para pegawai perubatan untuk berpindah dan menyesuaikan diri di tempat baharu dan KKM akan memperjuangkan supaya pemberian elaun ini diteruskan,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Dzukefly menafikan dakwaan bahawa KKM memotong kadar Bantuan Imbuhan Wilayah (BIW) susulan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi pegawai perkhidmatan awam persekutuan.
“Tidak pernah dilaksanakan sebarang pemotongan ataupun pengurangan elaun termasuk bayaran insentif wilayah ini, sebaliknya melalui SSPA, kerajaan bersetuju untuk menetapkan suatu kadar pegun bagi penerima sedia ada dan kadar baharu bagi pegawai baharu yang berkelayakan.
“Bagi penerima sedia ada, kadar tetap berdasarkan amaun terakhir BIW yang diterima sebelum tarikh kuat kuasa SSPA, manakala pegawai lantikan baharu atau pegawai baru berkelayakan, kadar tetap baharu adalah RM270 hingga RM960 sebulan,” katanya.
Dzulkefly berkata pelaksanaan kadar elaun BIW secara pegun itu diperkenalkan melalui SSPA pada 1 Dis 2024.
Beliau berkata BIW merupakan elaun khusus atau imbuhan tambahan diberikan kepada seorang pegawai yang ditugaskan atau ditempatkan di Sabah dan Sarawak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial