AM

Kerajaan Negeri Sabah Mahu Isu Air Di Sandakan Selesai Dalam Tempoh Kurang Dua Tahun

09/02/2026 08:08 PM

SANDAKAN, 9 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah memandang serius masalah bekalan air di Sandakan dan mahu isu itu ditangani dalam tempoh kurang daripada dua tahun, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Beliau berkata Sandakan pada masa ini berdepan dengan isu permintaan air yang tinggi, iaitu kira-kira 180 juta liter sehari berbanding kemampuan bekalan 169 juta liter sehari.

Katanya lebih menyukarkan situasi itu, terdapat kawasan yang mempunyai sistem saluran paip yang lama menyebabkan kehilangan bekalan air disalurkan seterusnya menjadi antara punca kekurangan atau ketiadaan air di daerah itu.

“Kerajaan negeri serius dalam usaha mengatasi masalah bekalan air di Sandakan, terbaharu kita sedang usahakan dua borehole untuk bekalan air bawah tanah baharu bagi menampung keperluan air penduduk di daerah ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau fasiliti bekalan air di daerah itu hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah berkata apabila siap kelak, dua kemudahan itu masing-masing dijangka mampu menyalurkan empat juta liter air sehari dan merupakan tambahan kepada lapan yang sedia ada di daerah terbabit.

Dalam pada itu, Dr Joachim meminta Jabatan Air Negeri Sabah menyediakan bekalan air alternatif ke kawasan kritikal termasuk mewujudkan tangki air statik bagi memudahkan penduduk mendapatkan sumber air percuma.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan