AM

Tibi: 10 Kluster Baharu Di Tujuh Negeri, Johor Catat Kes Tertinggi

10/02/2026 12:24 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Sebanyak 10 kluster baharu Tuberkulosis atau tibi dikesan di tujuh negeri setakat Sabtu lepas dengan Johor mencatatkan kes tertinggi, iaitu 37 kes, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata kes di Johor melibatkan 29 kanak-kanak dan lapan dewasa dengan indeks kes daripada satu kluster seorang wanita berusia 72 tahun di Kota Tinggi.

Daripada keseluruhan kes itu, Dzulkefly berkata 36 daripadanya dikesan secara aktif menerusi inisiatif pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) turun ke kawasan untuk melakukan ujian dan pengesanan kontak.

“Daripada pengesanan kontak sehingga 7 Feb, kita telah mengenal pasti 903 kontak rapat yang telah menjalani saringan dengan sesiapa yang mempunyai simptom terus diberikan rawatan di fasiliti KKM.

“Semua kes dilaporkan telah dimulakan rawatan dan dipantau, iaitu rawatan pemerhatian langsung (DOTS) secara harian di fasiliti kesihatan terdekat,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Dzulkefly menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mengenai status terkini kluster tibi mengikut negeri serta jumlah kes aktif yang masih dipantau dan langkah saringan serta kawalan khusus yang dilaksanakan bagi mencegah penularan.

Selain itu, beliau berkata Selangor menjadi negeri merekodkan kes tibi kedua tertinggi dengan 10 kes dilaporkan melibatkan empat kluster manakala Sabah (lima kes, satu kluster), Pahang (empat kes, satu kluster), sementara masing-masing dua kes dan satu kluster di Kedah, Kelantan serta Perlis.

Dzulkefly berkata saringan simptom dijalankan KKM antaranya batuk berpanjangan, demam, hilang selera makan, susut berat badan secara mendadak dan pemeriksaan klinikal paru-paru.

Menjawab soalan tambahan Dr Ahmad Yunus mengenai keberkesanan imunisasi dalam menangani kes seperti tibi, Dzulkefly berkata imuniti kelompok melalui Program Imunisasi Kebangsaan merekodkan hampir 99 peratus kanak-kanak telah mendapat imunisasi.

“Bagi bayi daripada keseluruhan hampir 500,000 kelahiran yang didaftarkan setiap tahun, liputan (imunisasi) melindungi jangkitan tibi dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini memang menepati sasaran,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan