AM

Malaysia, India Terus Perkasa Kerjasama Termasuk Perdagangan, Kestabilan Serantau - Mohamad

10/02/2026 01:21 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Hubungan dua hala antara Malaysia dan India terus diperkasa melalui peningkatan kerjasama strategik merentas sektor termasuk perdagangan, teknologi tinggi, pelancongan, keselamatan siber dan kestabilan keselamatan serantau.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata lawatan rasmi Perdana Menteri India Narendra Modi ke Malaysia baru-baru ini merupakan manifestasi komitmen kedua-dua negara untuk merapatkan lagi hubungan yang dinaik taraf kepada status Rakan Strategik Komprehensif pada 2024.

“Berdagang dengan India ini menguntungkan Malaysia kerana India mengimport banyak barang dari Malaysia dan majoriti yang kita eksport ke India itu dalam bentuk minyak kelapa sawit dan juga barang elektrik dan elektronik serta semikonduktor.

“Kita juga mengimport barang-barang semikonduktor dan barang-barang industri dari India. Jadi, ini merupakan asas kukuh yang telah pun diasaskan antara Malaysia-India,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai hasil perdagangan dan keselamatan serantau susulan lawatan Perdana Menteri India ke Malaysia, dan sejauh manakah langkah bersama yang boleh diambil oleh Malaysia dan India terhadap pelaksanaan tarif oleh Amerika Syarikat dan usaha memulihkan demokrasi dan keamanan di Myanmar.

Menyentuh aspek keselamatan, Mohamad berkata Malaysia dan India menggunakan pesawat pejuang atau pesawat tempur jenis Sukhoi yang sama, sekali gus membuka ruang kerjasama dalam aspek penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

Selain itu, beliau berkata inisiatif sedang dilaksanakan untuk menyelaras dan memudahcarakan kemudahan asas bagi pelancong dari India dan Malaysia melawat kedua-dua negara, dengan seramai 1.56 juta pelancong dari India melawat Malaysia pada tahun lepas.

Mohamad berkata kedua-dua negara juga menzahirkan komitmen bersama untuk melihat kestabilan politik dan keamanan kembali pulih di Myanmar.

Katanya, ia memandangkan India mempunyai sempadan darat sepanjang lebih 1,640 kilometer dengan Myanmar, manakala Malaysia turut menerima kesan limpahan lebih 200,000 pelarian Rohingya di serata negara termasuk di Langkawi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan