KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- UOB Malaysia melanjutkan pinjaman berkaitan kelestarian (SLL) bernilai RM600 juta (US$150 juta) kepada RHB Banking Group.
Dalam kenyataan hari ini, UOB Malaysia berkata kemudahan selama tiga tahun itu akan digunakan untuk keperluan pembiayaan korporat am dan jangka panjang.
Ketua Perbankan Borong UOB Malaysia Andy Cheah berkata kemudahan itu juga mencerminkan komitmen lebih luas UOB sebagai bank serantau untuk menyalurkan modal ke arah projek yang bertanggungjawab dan membolehkan peralihan hala tuju yang munasabah.
"UOB Malaysia komited untuk memajukan pertumbuhan kewangan lestari dan bekerjasama dengan rakan kongsi yang sehaluan serta berkongsi tujuan yang sama.
“Kelestarian sentiasa menjadi teras strategi kami, dan kami berbangga untuk bekerjasama dengan RHB dalam urus niaga ini,” katanya.
Seiring dengan Malaysia bergerak ke arah ekonomi lebih lestari, beliau berkata UOB Malaysia berhasrat untuk memberi sumbangan dengan membantu meningkatkan piawaian kemampanan merentasi industri serta menyokong agenda hijau negara secara keseluruhan.
Struktur SLL menghubungkan terma kemudahan dengan prestasi RHB berdasarkan penunjuk kelestarian yang telah ditetapkan sekali gus menerapkan unsur kebertanggungjawapan dalam strategi pembiayaan kumpulan.
Ketua Pegawai Kemampanan RHB Banking Group Angus Salim berkata kemudahan itu mengukuhkan komitmen kumpulan untuk menyokong pelanggan ketika mereka melangkah ke hadapan dalam laluan peralihan masing-masing sambil memperkukuh peranan kewangan lestari untuk membolehkan pertumbuhan ekonomi jangka panjang yang berdaya tahan.
Sehingga Disember 2025, mobilisasi kumulatif Perkhidmatan Kewangan Lestari RHB telah melebihi RM59 bilion, menyumbang hampir 66 peratus daripada sasaran 2027 sebanyak RM90 bilion.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial