AM

Portal MyTax LHDN Sedia Kaedah e-KYC, e-CP55D Bagi Pembayar Cukai Baharu

10/02/2026 04:46 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Pembayar cukai atau pengguna baharu kini boleh memohon nombor PIN dengan mudah melalui Portal MyTax Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), selaras dengan pelaksanaan mandatori penggunaan e-Perkhidmatan yang bermula 1 Jan 2024.

Eksekutif HASiL Bahagian Perhubungan Awam dan Multimedia Jabatan Khidmat Korporat LHDN Mohd Zufiqar Mohd Nor berkata permohonan boleh dibuat melalui e-KYC, iaitu pengesahan identiti menggunakan swafoto atau e-CP55D menggunakan maklumat yang diperkukuh seperti alamat e-mel berdaftar.

“Untuk pengguna pembayar cukai baharu, nombor cukai sudah tersedia kerana individu berumur 18 tahun ke atas, nombor cukai secara automatik diwujudkan.

“Hanya bagi yang baharu mengisi e-filing boleh menggunakan e-KYC atau e-CP55D untuk  permohonan sijil digital menggunakan alamat e-mel,” katanya ketika tetamu program Klinik Cukai bertajuk ‘e-Filing: Tanggungjawab Pembayar Cukai’ di Bernama Radio di sini hari ini.

Beliau berkata sekiranya pembayar cukai terlupa kata laluan, ia boleh ditetapkan semula dengan klik ‘Lupa Kata Laluan’ dan selepas memasukkan nombor kad pengenalan, kata laluan akan dihantar ke e-mel berdaftar.

“Sekiranya e-mel yang berdaftar dengan pihak HASiL tidak lagi digunakan, pendaftaran atau penukaran e-mel baharu boleh dilakukan melalui Borang Maklum Balas Pelanggan menerusi www.hasil.gov.my di bahagian ‘Hubungi Kami’.

“Bagi Sijil Digital tamat tempoh, pengguna boleh memperbaharui dengan memasukkan nombor kad pengenalan dan kata laluan, seterusnya klik butang ‘Hantar’. Tempoh sah bagi Sijil Digital adalah tiga tahun sahaja,” katanya.

Mengenai Borang Nyata Cukai Pendapatan atau e-filing, Mohd Zufiqar mengingatkan bahawa tarikh penghantaran borang BE atau e-BE bagi individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan atau hanya mempunyai pendapatan penggajian ialah 1 Mac hingga 30 April, dengan tambahan masa hingga 15 Mei.

Bagi individu pemastautin yang menjalankan perniagaan, borang B atau e-B perlu dihantar mulai 1 Mac hingga 30 Jun, dengan tambahan masa hingga 15 Julai. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan