DUNIA

Peningkatan Produk Luput Tarikh, Palestin Perketat Kawalan, Lindungi Pengguna Menjelang Ramadan

10/02/2026 04:51 PM

RAMALLAH, Feb 10  (Bernama-WAFA) -- Pihak berkuasa Palestin memperketat kawalan susulan peningkatan ketara kes barangan rosak dan tamat tempoh di pasaran yang dikesan sejak awal tahun ini, khususnya menjelang bulan Ramadan, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Ketua Pengarah Perlindungan Pengguna di Kementerian Ekonomi Nasional Palestin, Ibrahim Al-Qadhi dalam satu kenyataan pada Isnin berkata pihaknya telah mengendalikan 119 kes barangan tamat tempoh melibatkan kira-kira 236 tan produk sejak awal 2026.

“Jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding tempoh sama tahun lalu yang hanya mencatat 67 kes”, katanya.

Menurut Al-Qadhi, sebahagian besar barangan berkenaan pada asalnya dihantar ke Semenanjung Gaza namun tertahan lama di pintu masuk sempadan sebelum dikembalikan ke gudang peniaga, sekali gus menyebabkan tamat tempoh akibat penurunan kuasa beli pengguna.

Pihak kementerian kini meningkatkan pemeriksaan pasaran di semua wilayah, dengan tumpuan terhadap barangan makanan keperluan Ramadan, bagi melindungi keselamatan pengguna dan memastikan pematuhan piawaian kualiti.

Pihak pendakwaan Palestin sebelum ini menegaskan bahawa pengedaran barangan tamat tempoh diklasifikasikan sebagai kesalahan jenayah serius yang boleh dikenakan hukuman penjara dan denda, khususnya terhadap pesalah berulang.

-- BERNAMA-WAFA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan