JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki, Wanita Ditemukan Maut Dalam Kebakaran Rumah Di Skudai

10/02/2026 10:54 PM

JOHOR BAHRU, 10 Feb (Bernama) -- Seorang lelaki dan wanita ditemukan maut dalam kebakaran di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Damai Jaya, Skudai di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Skudai Penolong Kanan Penguasa Bomba Saifulbahri Safar berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 5.28 pagi dan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta sebuah Toyota Hilux dengan kekuatan 13 anggota digegaskan ke lokasi.

"Setibanya di tempat kejadian, kebakaran didapati melibatkan ruang tamu tingkat bawah rumah berkenaan dengan kemusnahan dianggar 40 peratus.

"Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak melaksanakan pemadaman dan melakukan operasi pencarian sebelum menemukan kedua-dua mangsa berusia 21 dan 22 tahun di tingkat atas dalam keadaan tidak sedarkan diri serta dipercayai telah meninggal dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifulbahri berkata mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada 8.08 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Radin Ramlan Radin Taha dalam kenyataan berasingan berkata mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk dibedah siasat.

"Difahamkan hubungan si mati berdua adalah kenalan di tempat kerja dan kita telah memanggil suami mangsa untuk diambil keterangan (prosedur biasa).

"(Bagaimanapun), punca kebakaran serta kematian masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan