AM

YHP: AstraZeneca Malaysia Perkasa Murid Sekolah Di Selangor Tangani Obesiti 

11/02/2026 10:06 AM

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- AstraZeneca Malaysia dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan Program Kesihatan Belia (YHP) pada peringkat sekolah rendah yang pertama seumpamanya.

Inisiatif berkenaan bertujuan menangani peningkatan obesiti dalam kalangan kanak-kanak serta menggalakkan gaya hidup lebih sihat generasi muda Malaysia.

Bertemakan Saya Sihat, Saya Hebat (I’m Healthy, I’m Great), inisiatif itu diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Bangi dan SK Pulau Meranti pada 1 dan 2 Dis lepas, menyasarkan murid berusia antara sembilan hingga 12 tahun.

Pelancaran program berkenaan bagi menangani faktor penyumbang utama, ketika data menunjukkan kira-kira 24 peratus kanak-kanak dan remaja Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan, terutamanya akibat pemakanan tidak sihat dan gaya hidup tidak aktif.

Situasi itu turut menyaksikan hanya 21 peratus remaja usia persekolahan didapati aktif secara fizikal.

Dalam satu kenyataan, AstraZeneca memaklumkan, YHP bertujuan mempromosikan kesaksamaan kesihatan serta mencegah penyakit tidak berjangkit (NCD) dengan memupuk amalan gaya hidup sihat secara mampan melalui kerjasama bermakna bersama sekolah dan komuniti setempat.

“Sebagai sebahagian daripada inisiatif separuh hari yang diadakan di kedua-dua sekolah, mereka yang berusia antara sembilan hingga 12 tahun menyertai aktiviti interaktif yang direka bagi memperkenalkan aspek utama kesejahteraan.

“Mereka mempelajari cara mentafsir ukuran badan, menghasilkan hidangan seimbang, mengenal pasti kandungan gula dan garam dalam makanan harian serta mengamalkan cara mudah untuk kekal aktif.

"Melalui permainan, lakonan peranan dan pembelajaran secara praktikal, sesi berkenaan berlangsung secara interaktif dan memberikan impak,” menurut kenyataan itu.

Kajian Journal of School Health pada 2023 mendapati mereka yang menyertai program pemakanan interaktif memperoleh pengetahuan lebih baik mengenai pemakanan sihat serta meningkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran kira-kira satu hidangan tambahan setiap hari.

Amalan sihat itu didapati berterusan hingga setahun selepas program berkenaan tamat.

Selain itu, satu kajian melibatkan murid di Malaysia mendapati pembelajaran melalui permainan dan aktiviti praktikal, 40 peratus lebih berkesan berbanding pengajaran bilik darjah tradisional dalam membantu kanak-kanak membuat pilihan makanan lebih sihat.

“Kumpulan umur ini amat penting dalam pembentukan tabiat sihat sepanjang hayat. Penyelidikan menunjukkan pada usia sembilan hingga 12 tahun perkembangan otak mereka sangat responsif dalam membentuk tabiat baharu dan mempelajari tingkah laku baharu,” menurut AstraZeneca Malaysia.

Merujuk kepada satu kajian semula besar membabitkan 47 program kesihatan sekolah, yang mendapati penyasaran kumpulan umur berkenaan paling berjaya membantu kanak-kanak mengekalkan berat badan lebih sihat serta memperbaiki tabiat pemakanan.

Berdasarkan dapatan berkenaan, sebagai sebahagian inisiatif global YHP memperkasakan golongan muda membuat pilihan kesihatan secara bermaklumat serta menggerakkan advokasi yang dipimpin oleh belia.

Inisiatif itu  kini dilaksanakan di lebih 40 negara dan disokong lebih 60 rakan kongsi bukan berasaskan keuntungan.

Program itu menggabungkan pendekatan jangkauan komuniti, penyelidikan, advokasi dan pembangunan kepimpinan dengan menumpukan kepada populasi kurang mendapat perkhidmatan.

“Sejak 2010, YHP memberikan manfaat kepada lebih 20 juta golongan muda di seluruh dunia, melatih lebih 900,000 belia serta melibatkan lebih 20,000 petugas AstraZeneca yang telah menyumbangkan lebih 99,000 jam khidmat sukarela,” menurut kenyataan itu.

Diperkenalkan pada peringkat tempatan pada 2021, AstraZeneca Malaysia mula bekerjasama dengan Hospital Beyond Boundaries (HBB) dalam projek kesihatan mental belia untuk komuniti B40.

Kerjasama itu kemudian diperluas bermula 2022 dengan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan serta pertubuhan bukan kerajaan lain bagi melatih lebih 1,000 belia di Lembah Klang, Melaka, Sabah dan Pulau Pinang.

AstraZeneca Malaysia kekal komited memupuk perubahan tingkah laku serta membina generasi masa depan yang lebih berdaya tahan dan peka terhadap kesihatan, serta melengkapkan kanak-kanak dengan kemahiran membuat pilihan yang tepat.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan